Pertahan Jasa : Jasa sekarang mungkin bukan macam Jasa dulu, kata Annuar Musa

Share

Peruntukan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang dihidupkan semula oleh kerajaan Perikatan Nsional (PN) tidak bermaksud agensi itu akan berfungsi sama seperti apa yang ada semasa zaman BN dulu.

Setiausaha Agung BN Annuar Musa berkata perkara itu tidak perlu dijadikan polemik dan semua pihak perlu mendengar penjelasan oleh kerajaan.

Malah, anggota Parlimen Ketereh itu yakin Jasa di bawah PN mungkin diwujudkan semula dengan cara dan ‘wajah’ berbeza.

“Saya yakin kerajaan mempunyai idea-idea yang tertentu… kerajaan akan membawa kertas-kertas jemaah menteri, kerana setakat ini belum ada lagi bentuk yang baru sebab ia (Jasa) dah dimatikan.

“Jadi apabila nak hidupkan balik, tidak semestinya dihidupkan dalam keadaan yang lama.

“Jangan cepat buat andaian, kena tunggu penjelasan kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa empat peringkat Umno Ketereh di Kota Bharu, hari ini.

Annuar berkata demikian sebagai mengulas tindakan kerajaan PN menghidupkan semula unit propaganda kerajaan dengan peruntukan sebesar RM85.5 juta daam Belanjawan 2021.

Nama kementerian pun dah berubah

Operasi Jasa dihentikan selepas Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan persekutuan sebagai langkah mengurangkan kos.

Ketika pentadbiran BN, seramai 222 anggota Jasa dikerahkan di setiap kawasan parlimen dan pengkritik mendakwa tugas mereka antara lain ialah bagi menyebarkan propaganda.

Annuar berkata, penubuhan Jasa sebelum ini di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia sebagai usaha memberi penerangan dan menyampaikan dasar-dasar kerajaan supaya sampai ke akar umbi dan difahami.

“Kita tahu Jasa telah pun ditutup oleh kerajaan PH, apabila ditutup ertinya tidak ada bajet pada 2020 dan 2019. Maknanya Jasa tidak ada lagi sebarang peruntukan.

“Pelantikan baru boleh dibuat tahun depan, belum pun pasti kekal sebagai satu agensi yang duduk di bawah kementerian komunikasi. Ia boleh diletakkan atau dipindah ke kementerian lain, misalnya,” kata Annuar lagi.

Dia yang juga menjadi menteri Wilayah Persekutuan menambah, usia Jasa sudah lama dan pada masa sama kerajaan berdepan dengan suasana serta cabaran baru.

Justeru katanya keperluan kerajaan untuk menyampaikan mesej dan dasar kepada rakyat sudah berubah.

“Dulu Jasa adalah satu cabang kementerian penerangan. Nama kementerian pun dah berubah. (Jadi sekarang) saya minta jangan terlalu prejudis,” tegasnya. Mk

Leave a Reply