Helikopter terhempas: Biro Siasatan Kemalangan Udara mulakan siasatan

KUALA LUMPUR: Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan teknikal susulan nahas dua helikopter di Bukit Melawati di sini, hari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata siasatan itu berdasarkan Annex 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO Annex 13).

Katanya, berdasarkan ICAO Annex 13, laporan awal siasatan nahas itu perlu disediakan dalam tempoh 30 hari dari tarikh kejadian berkenaan.

“Tujuan utama penyiasatan dilaksanakan adalah untuk menentukan hal keadaan dan punca kemalangan bagi menyelamatkan nyawa dan mengelakkan berlaku insiden serupa pada masa depan.



“Dalam hubungan ini, penyiasatan yang dilaksanakan tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

[VIDEO] Helikopter terhempas berhampiran Taman Melawati (Kemaskini)

Ka Siong berkata, pasukan penyiasat akan mengeluarkan laporan penuh berhubung hasil siasatan termasuk syor penambahbaikan bagi keselamatan penerbangan awam sebaik selesai.



Katanya, dapatan daripada laporan itu juga akan digunakan oleh kerajaan sebagai asas untuk mengemukakan syor penambahbaikan secara holistik terhadap industri penerbangan awam negara.

Dalam nahas pada jam 11.50 pagi tadi, dua helikopter yang sedang melakukan latihan penerbangan dilaporkan bertembung sesama sendiri di udara.

 

Anggota bomba mengangkat mayat di lokasi kejadian. - NSTP/Fathil Asri
Anggota bomba mengangkat mayat di lokasi kejadian. – NSTP/Fathil Asri

 



Satu daripada helikopter itu terhempas manakala sebuah lagi berjaya membuat pendaratan cemas di kawasan berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Melawati.

“Susulan kejadian itu, Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautikal Kuala Lumpur (KL ARCC) diaktifkan untuk membantu dalam usaha pengkoordinasian operasi menyelamat ini.

“Maklumat terbaharu yang diterima menyatakan dua orang meninggal dunia dan dua lagi mangsa sedang menerima rawatan,” katanya.

Media melaporkan identiti dua mangsa yang terkorban dikenali sebagai Mohd Sabri Baharon, 56, dan Mohd Irfan Mohamed Rawi, 44, manakala yang terselamat adalah Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66, dan Tan Chai Eian, 51.



 

Siasatan teknikal nahas dua helikopter dimulakan oleh BSKU.
Siasatan teknikal nahas dua helikopter dimulakan oleh BSKU.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker