Helikopter terhempas: Mangsa terselamat enggan diganggu media

‘Taknak.. taknak (enggan diganggu media),” kata Datuk Ahmad Jauhari Yahya, yang mengendalikan salah sebuah helikopter terbabit nahas di Jalan Taman Melawati di sini, pagi tadi.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd (MAS) berkata demikian ketika cuba ditemubual petugas media di lokasi utama nahas berlaku.

Ahmad Jauhari terselamat selepas helikopter dinaikinya bersama Tan Chai Eian, 56, berjaya membuat pendaratan cemas di padang Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Melawati, di sini.

Kira-kira jam 3 petang, beliau dan Chai Eian kemudian dilihat meninggalkan lokasi kejadian dengan menaiki sebuah kenderaan polis.

Difahamkan, kedua-duanya dibawa ke Balai Polis Melawati di sini, untuk dirakam keterangan berhubung kejadian itu.


Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, polis menerima laporan kejadian daripada orang awam, kira-kira jam 12 tengah hari.

Dalam kejadian itu, dua helikopter yang dalam perjalanan dari Subang ke Genting Sempah dikatakan bertembung di udara sebelum sebuah daripadanya terhempas.

Jurulatih penerbangan, Kolonel (B) Mohd Sabri Baharon, 56 dan pelatih penerbangan, Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41, disahkan terkorban dalam kejadian itu.

Bagaimanapun, helikopter dikendalikan Ahmad Jauhari bersama Chai Eian berjaya mendarat cemas.

Jenazah kedua-dua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan (PPUKM) untuk dibedah siasat.

Setakat jam 4 petang ini, anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan penyiasat daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dilihat masih berada di tempat kejadian bagi menjalankan siasatan dan cuaca ketika ini hujan lebat. BH

[VIDEO] Helikopter terhempas berhampiran Taman Melawati (Kemaskini)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker