SPRM sahkan sudah berhubung dengan AS dapatkan bukti baharu kes 1MDB

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan terdapat perbincangan dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat bagi mendapatkan bukti baharu susulan laporan dibuat bekas Perdana Menteri Najib Razak Okt tahun lalu terhadap bekas ahli perbankan Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner yang dikaitkan dengan kes 1MDB.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, permohonan untuk mendapatkan bukti baharu agak sukar kerana melibatkan pihak dari luar negara.

Jelasnya, SPRM tidak boleh bertindak sendirian dan perlu melalui Pejabat Peguam Negara serta undang-undang negara berkenaan untuk mendapatkan bukti yang diperlukan.

“Dia ada buat laporan kepada kita dan kita buka kertas siasatan mengenai laporan itu, jangan kata kami tak buka dan kita sedang berhubung dengan pihak AS kalau mereka boleh kongsikan bukti baharu.

“Tetapi jika kes melibatkan (perkara) yang berlaku di luar negara, memang susahlah kita nak menuduh mana-mana pihak sebab keterangan itu melibatkan ‘mutual legal assistance’.

“Apa yang kita buat sekarang, fokus kita ialah mengembalikan aset kita di luar negara tetapi setakat ini belum lagi mereka dedahkan bukti diperlukan,” katanya ketika ditemui di Pejabat SPRM di sini.

Bagaimanapun Azam berkata, ia terpulang kepada pihak AS untuk berkongsi maklumat yang diperlukan.

“Itu hak prerogatif mereka. Jika mereka nak kongsi, mereka akan sedia kongsikan bukti yang berkenaan.

“Permohonan ini bukan kami boleh terus buat. Kita perlu melalui Pejabat Peguam Negara kerana sebarang keterangan luar negara yang kita nak perolehi mesti melalui ‘mutual legal assistance’ dan undang-undang negara berkenaan,” katanya.

Pada 27 Okt tahu lalu, Najib membuat laporan terhadap bekas ahli perbankan Goldman Sachs Group Inc itu di SPRM Putrajaya bagi membolehkan pihak berkuasa Malaysia menyoal, membawa balik atau meminta senarai nama daripada Jabatan Kehakiman (DOJ) AS dalam usaha membersihkan namanya dalam kes 1MDB.

Najib dilaporkan berkata, tindakannya itu diambil kerana sudah habis usaha yang dilakukannya untuk mendapatkan senarai nama individu daripada syarikat 1MDB dan kerajaan Malaysia yang didakwa pernah disogok oleh Leissner seperti pengakuan salah lelaki itu di mahkamah AS tahun lalu.

Pengakuan salah itu menyaksikan Goldman Sachs bersetuju membayar ganti rugi sebanyak USD3.9 bilion(RM16.4 bilion) kepada kerajaan Malaysia.

“Pada awal tahun ini (lepas), peguam saya berjaya memenangi kes di AS untuk mendapatkan senarai nama dalam pengakuan Tim Leissner yang disogok beliau.

“Namun kerajaan AS melalui DOJ membantah keputusan mahkamah AS dan menghalang nama itu didedahkan,” katanya selepas membuat laporan berkenaan.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rakaman CCTV Detik-Detik Kenderaan Pelakon Vanessa Angel Kemalangan Viral [VIDEO]

Pendakwah Neraka Jahanam Yang Menyesatkan Manusia

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker