[VIDEO] Polis pakaian preman pantau pematuhan SOP di Selangor
Jangan ‘main-main’ atau ambil mudah prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 di lokasi awam kerana polis kini ada di mana-mana dengan berpakaian orang awam.
Polis menggunakan pendekatan itu bagi memudahkan operasi terhadap individu yang masih berdegil melanggar SOP di lokasi awam.
Berdasarkan satu video yang tular di media sosial semalam, empat lelaki yang sedang menjamu selera di sebuah restoran di bandar Puteri, Puchong diambil tindakan oleh dua anggota polis dipercayai tidak mematuhi SOP termasuk tidak memakai pelitup muka.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, ketika dihubungi berkata, polis mempunyai pasukan pematuhan yang membuat pemantauan sama ada di peringkat Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor mahupun di peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini.
“Pasukan ini membuat pemeriksaan mengejut ke atas premis-premis di Selangor, jadi mereka yang didapati ingkar pada SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan diambil tindakan.
“Pasukan ini ditubuhkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac lalu sehinggalah ke hari ini,” katanya kepada BH hari ini.
Beliau berkata, pasukan pemantauan tidak semestinya berpakaian seragam namun perlu memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa ketika mengambil tindakan ke atas orang awam yang melanggar SOP. BH