Macau Scam: ‘Mereka tanya pasal kedai saja’- Nabil

Share
Kuala Lumpur: Pelawak dan pengacara popular Nabil Ahmad, 37, mengesahkan dia antara individu yang tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini bagi membantu siasatan berhubung aktiviti pengubahan wang haram oleh sindiket Macau Scam dan perjudian dalam talian.

Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad ketika dihubungi berkata, tiada apa-apa yang berlaku kerana dia tidak terbabit dengan kes ini.

“Kes ini sudah selesai. Mereka tanya berkenaan pembukaan kedai minuman Bubble Bee di Seremban dan saya maklumkan ia belum beroperasi lagi.

“Selepas itu mereka terus tak tanya apa-apa lagi dan itu sahaja soalannya. Ini kerana kalau tiada kedai buat apa nak siasat,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu Harian Metro melaporkan lima selebriti termasuk seorang wanita terdiri daripada pelakon, penyanyi dan pengacara tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya berkaitan aktiviti pengubahan wang haram oleh sindiket Macau Scam dan perjudian dalam talian.

Ditanya tarikh sebenar kedai minuman kendaliannya itu akan beroperasi, Nabil berkata, menyerahkan segala-galanya kepada Shuib Sepahtu.

“Tunggulah kes Shuib selesai baru akan diteruskan. Lagipun semua urusan termasuk sewa kedai dia yang uruskan.

“Saya memang nak sangat buka kedai itu tapi tetap kena tunggu kesnya selesai. Saya sangat simpati dengan Shuib.

“Saya lega apabila tidak dikaitkan tapi saya harap kita dapat doakan untuk Shuib. Allah uji dia dan nak naikkan darjatnya,” katanya.-HM

Macau Scam: Pelakon, penyanyi, pengacara antara 5 dipanggil SPRM

Nabil Ahmad jalani kuarantin [Video]

Leave a Reply