Pesanan terakhir mangsa bunuh kepada teman lelaki

“Kali terakhir dia WhatsApp saya adalah pada pagi sebelum kejadian. Saya beritahu nak ke tempat kerja dan dia membalas, minta saya jaga diri,” kata Muhammad Haiqal Adnan, 19.

Muhammad Haiqal adalah teman lelaki Siti Surya Ismail, 19, gadis yang dibunuh di hadapan ibu yang terlantar di Kampung Lubok Batu, Telemong, Hulu Terengganu, semalam.

Pemuda dari Kampung Medan Jaya, Rusila, Marang itu, berkata dia yang mengenali Siti Surya sejak dua tahun lalu, dimaklumkan mengenai kejadian menimpa arwah oleh kenalan rapatnya jam 4 petang semalam.

“Pada mulanya, saya ingatkan rakan itu bergurau apabila dia memberitahu Siti Nur Surya mati dibunuh. Saya kemudian terus ke rumah keluarga arwah dan terkedu selepas mendapati ia benar-benar berlaku.

“Macam tidak percaya, saya dan ibu baru berjumpa Siti Surya pada Sabtu lalu ketika kami menziarahi ibunya di rumah mereka. Ketika itu, arwah mesra bersembang dengan ibu.

“Ketika berbual, ibu sempat berpesan kepada arwah supaya jaga diri dan kesihatan,” katanya menambah, mereka berdua merancang bertunang dan kemudian berkahwin pada tahun depan.

Ketika ditemui di rumah datuk dan nenek Siti Surya di Kampung Beladau Kepong, di sini, Muhammad Haiqal berkata, dia terkilan kerana tidak sempat menunaikan hasrat arwah untuk berkahwin tahun depan.

“Kami merancang untuk buat majlis tahun ini tetapi disebabkan Covid-19, ditambah pula dengan keadaan ibunya yang sakit, kami menangguhkan sehingga tahun depan,” katanya.

Difahamkan, jenazah arwah akan dibawa pulang ke Kampung Beladau Kepong untuk pengkebumian petang ini.

Dalam kejadian semalam, Siti Surya ditemui tertiarap di hadapan televisyen di ruang tamu rumah dalam keadaan berlumuran darah dan putus pergelangan tangan.

Mangsa yang ditemui adik perempuannya, Siti Nur Syuhada, 15, yang pulang dari sekolah kira-kira jam 2.30 petang, dipercayai dibunuh penjenayah yang memecah masuk rumah berkenaan, sekitar jam 9 pagi.

Siti Surya yang turut mengalami kecederaan pada badan muka dipercayai bergelut sebelum dibunuh dengan senjata tajam.

Difahamkan, ketika kejadian hanya dia dan ibunya yang terlantar akibat kanser otak berada dalam rumah berkenaan, manakala bapa dan adik-beradik lain keluarga bekerja atau ke sekolah. BH

Remaja perempuan ditemui maut dengan kesan tetakan, putus tangan kiri

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker