Isteri ADUN Galas nyaris dipatuk ular
GUA MUSANG: Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas nyaris dipatuk ular tedung selar yang memasuki kediamannya di Bandar Utama di sini, petang ini.
Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, Nor Azila Sidi Ahmad, 39, yang juga guru Sekolah Kebangsaan Sri Wangi 2 di sini terselamat selepas menguis ular tedung menggunakan kakinya sebelum lari menyelamatkan diri.
ADUN Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, ketika kejadian dia berada di Pejabat Pusat Khidmat ADUN Galas tidak jauh dari rumahnya sebelum menerima panggilan telefon daripada seorang anak memaklumkan perkara itu.
Katanya, sebaik sahaja bergegas pulang ke rumah isteri bersama tiga anak berada dalam ketakutan kerana ular tedung selar masih berada di bawah kerusi ruang tamu.
Sangkakan ayam nak bertelur, rupanya ular tedung atas kepala
“Pada mulanya isteri saya menyangka kasut anak berwarna hitam berada di bawah sofa cuba menguis dengan kaki untuk mengambilnya sebelum melihat benda itu bergerak.
“Dalam keadaan ketakutan itu mereka menjerit meminta tolong dan saya segera memaklumkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Syahbuddin berkata, ular itu dipercayai masuk ke dalam rumah menerusi pintu utama rumah.
Katanya, kemungkinan ular tedung selar itu datang dari kawasan gua batu kapur berhampiran.
“Saya bersyukur ahli keluarga terselamat dan ular tedung selar berjaya ditangkap anggota APM pada pukul 3.30 petang.
“Sofa itu sering diduduki isteri dan anak-anak untuk berehat selepas mereka pulang dari sekolah,” katanya.
Sementara itu, Pegawai APM daerah Gua Musang, Mohd. Yussalmi Mohd. Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung perkara itu pada pukul 3.10 petang.
Katanya, seramai tiga anggota bergegas ke lokasi dan menemukan ular tedung selar bersembunyi di bawah sofa di ruang tamu rumah wakil rakyat itu.
“Anggota kita mengambil masa 10 minit menangkap ular tedung selar seberat lima kilogram dan panjang lima meter.
“Ular itu akan disimpan di pejabat APM daerah sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya.
https://mykmu.net/2017/07/16/ular-tiga-kepala-nak-ketuk-yang-mana-dulu/
You must be logged in to post a comment.