‘UNIFORM’ kami tak bawa kuman – Jururawat

Kuala Lumpur: “Hanya disebabkan kami memakai baju misi (pakaian seragam jururawat), sesetengah pihak memandang kami seperti membawa kuman dan virus sehingga ada yang tidak membenarkan kami masuk membeli barangan di kedai runcit,” kata jururawat, Nurul Izzati Liyana Mohd Azhar, 29.

Itulah antara kisah dikongsi Nurul Izzati Liyana yang disisih masyarakat hanya kerana pakaian seragam jururawat yang dipakainya didakwa membawa kuman.

Nurul Izzati Liyana memuat naik perkongsian itu di status WhatsApp lalu dikongsi adiknya, Mohd Suhaizam Mohd Azhar, 24, di Twitter sehingga mengundang pelbagai reaksi warganet.

Antara kisah lain yang dikongsikan termasuk ada pihak tidak mahu menaiki lif sama serta memarahi petugas kesihatan ketika mengisi minyak.

Menurutnya, semua petugas kesihatan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan hospital sebelum dan selepas menjalankan tugas.

“Jangan risau kami semua tidak menggunakan uniform (seragam) sama ketika menguruskan pesakit Covid-19.

“Uniform itu hanya dipakai ketika mengimbas kad sebelum masuk bertugas dan selepas itu memakai baju yang lain serta pakaian perlindungan diri (PPE).

“Sebelum memakai semula pakaian itu di akhir tugasan, kami akan mandi terlebih dulu sebelum pulang ke rumah.

“Malah, sejurus sampai ke rumah kami akan mandi sekali lagi dan baju itu akan terus dicuci bagi mengelak sebarang kuman atau virus menjangkiti individu di rumah,” katanya kepada Harian Metro.

Nurul Izzati Liyana berkata, terdapat SOP khusus penjagaan pesakit Covid-19 di hospital bagi mencegah penularan wabak itu kepada masyarakat umum.

“Tidak salah untuk bersikap paranoid demi menjaga kesihatan diri namun biarlah tindakan itu diikuti dengan pengetahuan yang betul.

“Saya juga ada keluarga di rumah dan kerana itu saya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak berlaku apa-apa yang tidak diingini kepada mereka,” katanya.

Wanita yang bertugas di Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur itu berkata, dia pernah memakai PPE daripada plastik sampah pada peringkat awal pandemik ini dan berharap masyarakat tidak melayaninya seperti ‘pembawa virus’.

“Tujuh jam memakai PPE lengkap sudah terasa panasnya, apatah lagi memakai PPE yang diperbuat daripada plastik sampah.

“Banyak yang dikorbankan petugas kesihatan ketika pandemik ini, bukan saja berpanas, malah ada yang tidak berjumpa keluarga lebih dua bulan bagi memastikan orang lain selamat,” katanya.

Menurutnya, masyarakat seharusnya tetap mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dan sama-sama bertanggungjawab menangani Covid-19.

“Tidak seperti dulu, masyarakat kini semakin tenang dan bersikap ambil mudah mengenai sesuatu perkara.

“Peningkatan kes Covid-19 sepatutnya membuka mata masyarakat supaya lebih berjaga-jaga,” katanya yang mempunyai lapan tahun pengalaman dalam bidang kejururawatan.-HM

PH terkena ‘kuman’ DAP, asingkan soal agama dan pentadbiran

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker