Sangkakan ayam nak bertelur, rupanya ular tedung atas kepala

Share

SIK : Seorang suri rumah berdepan detik cemas apabila tiba-tiba mendapati seekor ular tedung selar sedang bergayut di atas alang rumah yang berada betul-betul di atas kepalanya.

Kejadian berlaku awal pagi tadi semasa wanita berkenaan baharu memasuki dapur untuk memasak.

Sofiah Ismail, 53 tahun, dari Kampung Kenangan Jeneri di sini menceritakan, semasa kejadian dia ingin menyediakan sarapan untuk keluarganya.

Pada mulanya, dia terdengar bunyi kuat seperti ayam hendak bertelur tetapi tidak menyangka ia datang dari ular tedung selar terbabit.

Dia yang panik terus memaklumkan kepada suaminya sebelum menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aisyah Mohd Napiah berkata, sebaik menerima panggilan kira-kira jam 7.30 pagi, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba, anggotanya mendapati ular tedung selar sepanjang 2.5 meter itu cuba menyembunyikan diri di belakang almari dapur di dalam rumah.

Anggotanya berhempas-pulas mengumpan ular itu yang berada hujung almari dapur untuk keluar dari tempat sempit kerana ia sentiasa mengembangkan kepalanya dan mahu menyerang anggota APM.

Bimbang dengan keadaan reptilia yang semakin agresif, anggota APM cuba mengalihkan perhatian ular berkenaan dan ia kemudiannya berjaya ditangkap menggunakan pencakuk.

Ular itu kemudiannya dibawa ke pejabat APM Sik untuk tindakan lanjut.

Haisul Aishah berkata, ketika ini musim reptilia berbisa ini mengawan dan bertelur sudah bermula, jadi ia akan mencari lokasi panas untuk mengeram telurnya.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan terus menghubungi talian 999 jika berdepan reptilia berbisa agar tidak mengancam nyawa. Awani

Leave a Reply