BPN 2.0 beri rahmat berganda
KUALA LUMPUR: Kalangan penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 menyifatkan mereka mendapat rahmat berganda. Selain bantuan itu sendiri datang tanpa diduga apabila diumumkan Perdana Menteri pada 23 September lalu, bayarannya pula diperoleh lebih awal daripada jangkaan.
Ketika mengumumkan Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: KitaPrihatin bernilai RM10 bilion, sebanyak RM7 bilion diperuntukkan kepada BPN 2.0 bagi dimanfaat 10.6 juta penerima yang disasar untuk diagihkan mulai 26 Oktober. Bagaimanapun, kerajaan dapat mengagihkannya lebih awal mulai 19 Oktober.
Pemberian lebih awal BPN 2.0 kerana kerajaan sedar masalah ekonomi ditanggung rakyat akibat penularan COVID-19.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu menyebabkan banyak sektor ekonomi ditutup. Susulan itu ramai pekerja dalam rantaian ekonomi yang terjejas, kehilangan sumber pendapatan kerana diberi cuti tanpa gaji, malah ramai juga yang hilang kerja.
Peniaga, Rizal Idris, 36, berkata beliau kini mampu menarik nafas lega apabila Perdana Menteri mengumumkan bantuan tunai kepada rakyat buat kali kedua.
“Saya dan keluarga berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana bantuan yang diberikan ibarat tidak putus, terutama kepada kami yang amat memerlukan.
“Bantuan yang diterima sudah tentu dapat digunakan untuk kehidupan seharian serta boleh digunakan untuk persekolahan anak,” katanya.
Pekerja swasta, Muhammad Faris Mohd Yusoff, 30, turut menyifatkan pengumuman bantuan terbabit tepat pada masanya dan berharap golongan yang mendapat bantuan itu diperluaskan.
“Tidak dinafikan bantuan ini amat baik membantu mereka yang terkesan akibat COVID-19, namun saya berharap ia dapat diagihkan lebih adil dan saksama,” katanya.
Menerusi BPN 2.0, kumpulan penerima pertama iaitu isi rumah B40 akan menerima RM1,000 sementara RM500 kepada 3.8 juta kumpulan B40 bujang.
Kumpulan ketiga adalah 1.4 juta isi rumah M40 yang akan menerima RM600, sementara 1.7 juta kumpulan M40 bujang akan menerima RM300.
Selain BPN 2.0, KitaPrihatin turut membabitkan Program Subsidi Upah 2.0 (RM2.4 bilion) dan inisiatif Geran Khas PRIHATIN (GKP) sebanyak RM600 juta.
KitaPrihatin menyasarkan B40, M40, pekerja dalam pelbagai bidang dan peniaga mikro.
Sementara itu, di Kuala Terengganu, tiga penerima BPN 2.0 termasuk kategori bujang yang ditemui mengakui akan memanfaatkan sepenuhnya bantuan itu untuk menambah modal perniagaan.
Seorang tukang kasut, Mohamad Ridwan Hamzah, 54, dari Padang Hiliran, di sini, menjelaskan BPN 2.0 digunakannya sebagai modal tambahan membeli peralatan membaiki kasut.
Jelasnya, bayaran peringkat pertama diterima sebanyak RM700 digunakan bagi membeli peralatan seperti benang dan jarum serta tapak kasut.
“Saya tidak gunakan BPN 2.0 itu untuk kegunaan peribadi, sebaliknya sebagai modal tambahan membeli peralatan untuk membaiki kasut pelanggan,” katanya ketika ditemui di kaki lima pasar raya di Kampung Tanjung.
Mohamad Ridwan sukar mencari modal tambahan tanpa BPN 2.0, selepas wang hasil kerja membaiki kasut digunakan sebagai perbelanjaan sepanjang PKP berikutan penularan COVID-19.
Muhammad Safar Firuddin, 30, dari Pasir Panjang, pula mengakui BPN 2.0 kategori bujang diterimanya, RM500 digunakan sebagai modal menjalankan perniagaan nasi lemak ayam bajet.
Dia yang berkelulusan diploma teknologi maklumat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, kesukaran mendapatkan kerja di jabatan kerajaan dan swasta berikutan pandemik COVID-19, mendorongnya menceburi bidang perniagaan menjual nasi lemak di bahu jalan sejak Januari lalu.
Namun, jelas beliau perniagaan yang diceburinya rugi selepas kerajaan mengumumkan PKP pada Mac lalu.
“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana memperkenalkan BPN 1.0 dan BPN 2.0 kategori bujang. Saya akan menggunakan BPN sebagai modal untuk memulakan semula perniagaan menjual nasi lemak ayam bajet,” katanya.
Seorang lagi penerima BPN 2.0 kategori bujang dan bekas pekerja swasta, Norfarah Nasuha Mat Ariffin, 26, dari Bukit Besar, berkata dia menggunakan bantuan diberikan kerajaan sebagai modal pusingan menjual burger. BH
You must be logged in to post a comment.