KPT peruntuk RM24 juta bantuan pelan data untuk pelajar IPT B40 · MYKMU.NET

KPT peruntuk RM24 juta bantuan pelan data untuk pelajar IPT B40

Share

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperuntukkan RM24 juta bagi Bantuan Pelan Data kepada 320,396 pelajar dari kategori B40 bagi memastikan mereka mendapat persekitaran pembelajaran yang kondusif dengan pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian susulan pandemik COVID-19.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata melalui pelan data itu sebanyak 225,784 unit kad SIM diagihkan kepada pelajar dengan kerjasama syarikat telekomunikasi, Yayasan YTL dan Lembaga Tabung Haji.

“Baki seramai 94,612 pelajar pula akan mendapat pemberian tunai bagi tujuan pembelian pelan data,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pakej Pelan Data dan Peranti Kepada Pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di KPT di sini, semalam.

Noraini berkata, sebanyak 8,965 unit peranti komputer riba khusus diperuntukkan kepada pelajar (IPT) di bawah kategori B40 secara bersasar.

Beliau berkata, 5,965 pelajar bakal menerima bantuan komputer riba secara percuma. Selain itu, seramai 2,700 pelajar pula akan menerima bantuan dalam bentuk pemberian tunai bagi tujuan yang sama manakala seramai 300 pelajar akan menikmati bantuan pinjaman kewangan bagi memiliki komputer riba yang diperlukan pada harga istimewa.

Kelas dalam talian hingga 31 Dis untuk pelajar IPT

“Jumlah keseluruhan yang diperuntukkan bagi membiayai bantuan pemberian peranti ini adalah dianggarkan sebanyak RM13 juta,” katanya.

Kata Noraini, dalam usaha meringankan beban pelajar untuk menanggung kos bagi mengikuti PdP secara dalam talian, KPT menawarkan pemberian bantuan tunai RM50 kepada semua pelajar baharu sesi 2020/2021 yang keseluruhannya bernilai RM3.8 juta.

Melalui bantuan tunai ini, seramai 76,153 pelajar bakal menikmati faedah yang diharap dapat membantu mereka mengikuti PdP secara dalam talian, katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan kelangsungan atau kemampuan untuk pelajar meneruskan PdP secara dalam talian, KPT dengan kerjasama Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) melancarkan inisiatif crowdfunding melalui Tabung Prihatin Siswa.

Katanya, inisiatif ini dilihat sebagai satu platform bagi mengajak pihak luar bersama-sama dengan KPT dalam menyalurkan sumbangan untuk membantu meringankan kesulitan pelajar yang berkeperluan dalam meneruskan PdP tanpa kekangan.

“KPT berharap bantuan dan inisiatif yang ditawarkan akan dapat meringankan beban yang dihadapi oleh pelajar dalam situasi semasa berkaitan pandemik COVID-19 dan dimanfaatkan sebaiknya,” katanya. – BERNAMA

Covid-19 : Bantuan tambahan kepada pelajar IPT

 

Leave a Reply