Nasib calon SPM 2020: Menteri Pendidikan usah terlalu bermimpi

Gelombang pandemik Covid-19 benar-benar memberi kesan bukan sahaja pada negara kita, malah seluruh dunia. Semua sendi ekonomi dan pentadbiran negara menguncup dan terjejas.

Semasa gelombang pertama pandemik berjaya diatasi, kerajaan dilihat berjaya mengawalnya,. Namun, gelombang ketiga pada masa ini menampakkan kekusutan kerajaan dalam menguruskannya.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh yang panjang telah menjejaskan proses pembelajaran pelajar kita. Setelah pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), sekolah kembali dibuka dan proses pembelajaran gaya lama kembali terlaksana.

Guru-guru terpaksa memecut laju untuk menghabiskan sukatan pelajaran. Pembelajaran gaya lama tertangguh selama beberapa bulan, tetapi peperiksaan akhir tahun termasuk Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya dilewatkan dua bulan sahaja.

Warga pendidik sekolah menengah dan rendah mengejar masa yang suntuk untuk menyelesaikan tugasannya termasuk memastikan semua pelajar menyiapkan kerja kursus serta melakukan persediaan rapi bagi menghadapi peperiksaan akhir tahun atapun SPM.

Mari kita fokus kepada calon-calon SPM. Mengapa tumpuan harus diberikan kepada calon SPM? Hal ini kerana, pelajar-pelajar lain masih mempunyai peluang pada tahun hadapan untuk meneruskan proses pembelajaran.

Tetapi calon SPM hanya mempunyai jalan akhir sebelum mereka tamat sesi persekolahan. Maka penting untuk kita melihat bebanan yang calon SPM hadapi dan apakah kesan yang akan ditanggung oleh mereka kesan pandemik Covid-19 ini.

Tumpuan semua calon SPM kembali terjejas apabila kebanyakan sekolah perlu ditutup akibat kemunculan gelombang ketiga pandemik ini.

Lebih malang lagi apabila penutupan sekolah ini khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur dilaksanakan semasa semua calon SPM sedang menduduki peperiksaan percubaan SPM.

Semasa rencana ini ditulis, kesemua calon mempunyai kurang dari 10 minggu sahaja untuk menduduki peperiksaan SPM yang sebenar. Dapatkah kita melihat bahawa semangat calon-calon SPM kembali terganggu?

Mereka yang membawa harapan ibubapa bagi mendapatkan keputusan yang terbaik, ditambah pula dengan masalah pandemik ini menyebabkan tekanan semakin memuncak.

Harus diingatkan, Menteri Pendidikan jangan terlalu bermimpi di siang hari dengan memberikan penegasan berkali-kali dalam setiap pengumumannya bahawa semua tenaga pengajar harus memastikan proses pembelajaran dalam talian wajib dilaksanakan semata-mata.

Pastinya Menteri Pendidikan gagal melihat konteks realiti masyarakat dan fasiliti negara kita. Dari konteks masyarakat, bukan semua calon SPM mempunyai sokongan yang kukuh untuk menjalani proses pembelajaran secara dalam talian.

Kekusutan ekonomi keluarga antara punca utama calon SPM memilih jalan kedua iaitu membantu keluarga mereka menambah pendapatan berbanding menyertai proses pembelajaran dalam talian.

Dari konteks fasiliti atau kemudahan pula, bukan semua calon SPM kita mempunyai kemudahan jalur lebar yang sempurna untuk masuk ke dalam talian yang ditetapkan.

Tambahan pula, setiap jalur lebar yang hendak digunakan perlu dibayar. Dengan keadaan ekonomi yang benar-benar lumpuh, mampukan calon-calon SPM menyediakan sumber kewangan ini khas untuk proses pembelajaran dalam talian.

Memberi penegasan dalam setiap arahan yang dikeluarkan adalah perlu, namun ia tidak bermakna apabila kemudahan tidak disediakan kepada calon-calon SPM.

Sekurang-kurangnya Menteri Pendidikan yang bergelar menteri kanan boleh memohon agar Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menyediakan sebuah pelan strategik yang merangkumi usaha kerajaan dalam membantu pelajar khususnya calon SPM menyertai proses pembelajaran secara dalam talian.

Tambahan pula, KPM menyediakan slot pembelajaran setiap subjek yang ditayangkan dalam televisyen. Usaha ini bekesan, tapi adakah semua calon SPM mempunyai saluran tersebut memandangkan slot tersebut ditayangkan pada saluran berbayar. Bukankah ini semua kesukaran dan halangan yang dihadapi semua calon SPM 2020?

Bentuk penilaian untuk menilai calon SPM juga menjadi isu utama. Setelah calon SPM dihimpit dengan pelbagai rintangan kesan pandemik, adakah kaedah penilaian calon SPM kekal sama seperti tahun-tahun yang lalu?

Pastinya KPM berada dalam keadaan tersepit, jika mereka mengubah penilaian sedia ada kepada penilaian yang lebih mesra pasca Covid-19, ia akan menurunkan kredibiliti keputusan SPM itu sendiri kelak yang akan mengganggu mereka masuk ke IPT.

Jika penilaian SPM kekal seperti biasa, ia menjadi tidak adil buat semua calon SPM. Hal ini kerana mereka tidak mendapat proses pembelajaran serta masa yang sama dengan calon-calon SPM sebelum ini.

Sama ada KPM khususnya menteri pendidikan dapat melihat masalah ini atau tidak, ia perlu diberi perhatian serius kerana jika salah mengatur langkah buat mereka, pastinya mereka akan mengalami bebanan yang besar seterusnya menggangu prestasi mereka dalam SPM.

Persoalan yang lebih penting adalah bagaimana masa depan mereka selepas ini? Kita masih belum nampak apakah perancangan KPM dalam menangani hal ini. Guru-guru serta calon SPM ternanti-nanti apakah penyudah kepada nasib mereka dan apakah langkah seterusnya yang akan mereka lakukan untuk meneruskan kehidupan.

Seperti jadual SPM pindaan pertama, SPM akan dilaksanakan pada awal Januari 2020 sehingga akhir Februari 2020.

Adakah pelaksanaan ini nanti, keputusan SPM mereka akan diumum pada Mei iaitu 3 bulan selepas SPM sama seperti sebelum ini?

Jika ia berlaku pastinya kemasukan mereka sama ada ke peringkat STPM, Matrikulasi dan asasi juga dianjak ke hadapan.

Adakah KPM akan melakukan penyelarasan jadual waktu bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memastikan tiada sebarang pertindihan berlaku.

Jika dilihat kepada situasi sebelum ini, seolah-olah KPM dan KPT gagal mencapai kesepakatan dalam melaksanakan sesuatu dasar sedangkan dua kementerian ini saling berkait.

Jika tarikh kemasukan ke STPM, Matrikulasi dan Asasi serta diploma tidak berganjak dari mengikut pindaan SPM, ini bermaksud kesemua penanda kertas yang terdiri dari guru-guru sekolah terpaksa melakukan kerja mereka dua kali ganda lebih cepat berbanding tahun sebelum ini.

Pastinya ini bebanan terbaru yang harus dipikul oleh para guru yang menanda kertas dalam masa yang sama perlu terus mengajar di sekolah.

Psikologi calon SPM termasuk para tenaga pengajar dalam keadaan pandemik ini jangan dipandang enteng oleh semua pihak. Gagal menguruskan perjalanan mereka yang tiba-tiba bersimpang-siur menyebabkan masa depan mereka kembali kabur.

Perlunya Menteri Pendidikan yang berkedudukan empat paling kanan harus menampakkan beliau sebagai menteri yang prihatin dan mempunyai perancangan yang besar dalam mencorakkan sistem pendidikan negara.

Kosongnya sebuah pendidikan negara adalah kesan dari kecelaruan kepimpinan dalam meneraju kementerian.

SYAZMIR HARIZ NOORAZALAN
MALAYSIADATELINE

Mira kongsi tip buat calon SPM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker