Zahid layak jadi TPM – Tajuddin

Berdasarkan sokongan lebih tiga juta ahli, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi layak untuk dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Pandangan itu disuarakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mengakui UMNO sebelum ini ada meminta supaya ahli parti itu mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Begitupun, Tajuddin menegaskan, parti itu tidaklah mendesak atau mengugut tapi meminta pemimpin UMNO yang sesuai memegang jawatan itu mengikut hierarki parti.

“Presiden kita dapat sokongan lebih tiga juta ahli UMNO dipilih oleh tiga juta ahli UMNO. Apapun perkara lain yang menjadi masalah, beliau diterima oleh UMNO. UMNO yang memilih beliau.
“Bermakna dari sokongan lebih 3 juta ahli UMNO, tak boleh dinafikan, memanglah dalam parti mana pun ada sekumpulan, beberapa orang yang mungkin tidak begitu suka pada beliau, itu satu perkara yang lain.

“Tapi majoriti menyokong beliau, jadi kita harap sebagai presiden parti, dengan sokongan begitu ramai, beliau layak untuk menjadi timbalan perdana menteri, sekurang-kurangnya,” katanya kepada Astro AWANI.

Tambah Ahli Parlimen Pasir Salak itu, sekiranya tidak menjadi masalah besar, kenapa tidak melantik seorang pemimpin dari UMNO menjawat jawatan itu kerana UMNO juga ada sumbangan kepada Perikatan Nasional (PN).

“Nak kata kita gila kuasa atau kita lakukan ini kerana pangkat, kedudukan dan sebagainya. Eh, dah berapa bulan ni, kita tidak pula sibuk-sibuk pasal jawatan, pangkat dan sebagainya.
“Kita sokong apa juga dibuat untuk bela nasib rakyat tetapi jangnlah anggap UMNO ini boleh diambil mudah,” ujarnya.

Astro AWANI pada Selasa melaporkan satu pendedahan mengejutkan membabitkan isi kandungan surat Ahmad Zahid kepada Yang di-Pertuan Agong, baru-baru ini.

Memetik portal MalaysiaNow, surat yang dipersembahkan oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa bersama-sama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan sokongan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pendedahan tersebut sekali gus dilihat bercanggah dengan penafian yang dibuat UMNO sebelum ini berhubung surat yang tular di laman sosial, menafikan sokongan telah diberikan kepada Ketua Pembangkang itu.

Dalam perkembangan terkini, UMNO sekali lagi dilaporkan akan mengadakan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) malam ini di Menara Dato Onn.

Sumber memaklumkan kepada Astro AWANI bahawa mesyuarat malam ini, yang akan dipengerusikan Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan membincangkan secara terperinci mengenai cadangan penstrukturan semula Kabinet.

Ini termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri, yang sebelum ini dilaporkan sedang dipertimbangkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbal balas terhadap perjanjian keyakinan dan bekalan untuk Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 kelak. Awani

Bersatu jika mahu menang, Tajuddin beritahu Umno sebelum Anwar ke Istana

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker