Amanah serah kerusi boleh menang kepada Muda jadi tanda tanya pada PKR

SHAH ALAM – Keputusan Parti Amanah Negara (Amanah) menyerahkan sebahagian besar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mampu menang kepada Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri itu sebagai ‘pelik’.

Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan keputusan sebegitu menyebabkan timbul sentimen tidak puas hati dalam kalangan akar umbi parti berkenaan terhadap Amanah.

Mengakui beliau memahami kekecewaan akar umbi parti, Syed Ibrahim bagaimanapun menjelaskan pihaknya mengambil sikap dipandu Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dan PH Johor iaitu terbuka menerima sebarang bentuk keputusan kerjasama politik di antara PH dan Muda.



“Saya akur sentimen dan semangat akar umbi PKR yang percaya muafakat PH perlu dikekalkan melalui keutamaan perundingan di antara parti-parti komponen utama. Kemudian barulah kita tumpu kepada rakan-rakan strategik.

“Namun saya mengakui sentimen ketidakpuashatian timbul susulan terdapat sebilangan kerusi Amanah diberikan kepada Muda adalah kerusi DUN yang bagus dan dimenangi PH (melalui Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dengan majoriti selesa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Saya pun agak pelik, tetapi kami (PKR) kena hormat keputusan Amanah. Apa pun kami percaya masih terdapat ruang untuk mengemukakan pandangan secara dalaman di antara rakan-rakan dalam PH,” katanya kepada Sinar Premium.

Beliau berkata demikian susulan Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis meluahkan rasa tidak puas hati di atas keputusan Amanah menyerahkan kerusi DUN Puteri Wangsa kepada Muda.



Pada Rabu, Amanah dan DAP mengumumkan persetujuan dua parti dalam PH itu untuk menyerahkan enam kerusi DUN kepada Muda dengan salah satu daripadanya merupakan DUN Puteri Wangsa.

Lima kerusi DUN lain merupakan Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap dan Bukit Permai.

Jelas Napsiah, beliau cuba berlapang dada apabila kerusi ini diberikan kepada Amanah atas kesepakatan rakan lama dalam PH serta sudah mempersiapkan jentera bagi membantu calon Amanah, namun kesal apabila kerusi itu diserahkan kepada Muda dengan mudah.

 



SYED SADDIQ BERTANDING DI PUTERI WANGSA?

Ketika ini, spekulasi semakin bertiup kencang mengatakan kemungkinan kerusi DUN Puteri Wangsa bakal ditandingi oleh Presiden Muda sendiri iaitu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Bagi mendapatkan kefahaman lanjut, Sinar Premium cuba menganalisis peluang enam kerusi DUN diserahkan Amanah dan DAP kepada Muda untuk menang sekiranya ia masih ditandingi parti-parti koalisi PH itu pada PRN Johor.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerusi DUN Puteri Wangsa yang terletak dalam Parlimen Tebrau, dimenangi bekas calon Bersatu, Mazlan Bujang dengan majoriti besar 24,959 dan jauh mengatasi lima pencabar lain termasuk calon Barisan Nasional (BN).



Dengan kerusi itu berstatus campuran, peluang PH kembali merampas kerusi itu sepatutnya lebih besar sekiranya ditandingi calon Amanah mahu pun PKR.

Begitu juga dengan DUN Tenang, Bukit Kepong dan Bukit Permai di mana kerusi ini pernah dimenangi Bersatu yang mewakili PH dengan majoriti memuaskan melebihi 1,000 undi dan berpotensi diambil semula sekiranya pengundi bukan Melayu bersepakat mengekalkan sokongan kepada koalisi itu.

Bahkan bagi lebihan dua kerusi DUN Parit Raja dan Machap yang kalah ditandingi PH dengan majoriti tipis kurang 1,000 undi pada PRU14.

Kedua-duanya kerusi DUN itu sepatutnya berpotensi dimenangi calon daripada Amanah dan PKR jika faktor ketidaktentuan kecenderungan sokongan 750,000 pengundi muda yang pertama kali mengundi pada PRN Johor diambil kira.



Mengulas lanjut, Syed Ibrahim bagaimanapun enggan mengeruhkan lagi keadaan sebaliknya memahami hakikat keputusan persetujuan pengagihan kerusi pilihan raya kepada Muda terletak di tangan parti-parti dalam PH sendiri.

“PKR Johor kena hormat keputusan Amanah, walaupun ada berlaku sedikit rasa terkilan di peringkat akar umbi,” tegasnya lagi.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker