Anak Najib fail rayuan saman LHDN RM37.6 juta
Anak lelaki bekas perdana menteri Najib Razak, Mohd Nazifuddin Najib mengemukakan rayuan terhadap mahkamah yang memberikan lampu hijau untuk penghakiman terus (summary judgement) dalam kes saman cukai RM37.6 juta terhadapnya (Nazifuddin).
Peguam Nazifuddin Muhammad Farhan Muhammad Shafee mengesahkan rayuan itu difailkan di Mahkamah Rayuan pada 20 Julai tahun ini.
“Rayuan difailkan setelah keputusan Mahkamah Tinggi, iaitu pada 20 Julai,” kata Farhan kepada Malaysiakini hari ini.
Pada 6 Julai, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan tawaran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk membuat penghakiman terus dalam tuntutan saman cukai terhadap Nazifuddin.
Di bawah undang-undang, penghakiman terus bermaksud suatu pihak meminta mahkamah untuk memutuskan suatu kes secara singkat tanpa menjalani perbicaraan penuh.
Kamarul Zaman fail saman fitnah RM8 juta terhadap Teresa Kok
Pada 8 Ogos tahun lalu, Malaysiakini melaporkan LHDN memfailkan saman untuk mendapatkan semula RM37.6 juta dalam pertuduhan cukai belum dibayar daripada Nazifuddin berdasarkan penilaian dari 2011 hingga 2017.
Selain Nazifuddin, bapa dan saudaranya, Najib dan Mohamad Nizar Najib, juga telah memfailkan rayuan terhadap kejayaan LHDN mendapatkan penghakiman terus dalam tuntutan cukai terhadap kedua-dua pihak itu.
Pada Isnin (26 Okt), dilaporkan Najib memfailkan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membenarkan permohonan LHDN untuk mendapat penghakiman terus dalam tuntutan saman cukai bernilai RM1.69 bilion terhadap bekas perdana menteri itu.
Pembangkang sedia sokong Belanjawan 2021 , Muhyiddin masih sibuk berpolitik
Semalam (27 Okt), portal berita The Edge Markets melaporkan Nizar memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman terus dalam saman cukai RM13.16 juta terhadapnya.
Selain itu, pada hari Isnin dilaporkan LHDN memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk menolak permohonan lembagai itu untuk penghakiman terus dalam saman cukai RM10.3 juta terhadap Nooryana Najwa Najib, anak perempuan Najib.
Sementara itu, berkaitan dengan pengurusan kes Mahkamah Rayuan terhadap tuntutan rayuan Nazifuddin, Nizar dan Najib yang berkaitan dengan saman cukai, Farhan mengatakan semuanya telah ditetapkan pada 16 Disember.