Kamarul Zaman fail saman fitnah RM8 juta terhadap Teresa Kok

Share

Pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) Kamarul Zaman Yusoff memfailkan saman terhadap bekas menteri industri utama Teresa Kok kerana membuat kenyataan fitnah terhadap beliau 3 tahun lepas.

Kamarul mendakwa pernyataan di laman Facebook Teresa dan kenyataan media beliau selepas itu telah merosakkan reputasinya sebagai ahli akademik dan felo di Institut Penyelidikan Islam (Iksim).

Saman fitnah itu difahamkan adalah susulan laporan polis yang dibuat Kamarul terhadap bekas timbalan menteri Hannah Yeoh berhubung autobiografi beliau berjudul “Becoming Hannah”.


Difahamkan juga, saman berasingan turut difailkan terhadap pemimpin DAP lain, termasuk ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen; ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh; bekas senator Ariffin Omar dan timbalan ketua menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy.

Pemimpin Amanah, termasuk ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin serta portal berita parti berkenaan dipercayai turut disaman.

Kamarul mendakwa beliau “ditempelak, dituduh, dimalukan dan difitnah”, terutama oleh kepemimpinan DAP selepas beliau membuat laporan polis tersebut.


Katanya, pernyataan Teresa adalah tidak benar dan dibuat dengan niat jahat dengan membayangkan bahawa beliau adalah ancaman kepada orang awam dan tidak layak menjadi pensyarah.

Kamarul menuntut ganti rugi RM8 juta daripada Teresa, yang merupakan ahli Parlimen Seputeh, dan juga perintah injunksi untuk menghentikannya daripada mengulangi kenyataan tersebut.

Kamarul berkata, peguamnya telah menghantar surat menuntut permohonan maaf daripada Teresa pada 23 Jun lalu, bagaimanapun pasukan perundangan ahli Parlimen itu menolak tuntutan itu.


Kamarul mendakwa bahawaTeresa menyiarkan satu lagi kenyataan fitnah terhadap beliau di laman Facebook tahun ini, dengan mendakwa pensyarah itu “hanya mencari publisiti murahan”. FMT

Leave a Reply