Peguam: PKR belum dapat serah saman RM10 juta kepada Zuraida

PKR masih belum dapat menyerahkan writ saman RM10 juta kepada bekas naib presidennya Zuraida Kamaruddin yang didakwa melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti.

Menurut peguam utama PKR William Leong, mahkamah dimaklumkan plaintif tidak dapat menyampaikan writ saman itu di kedua-dua alamat kediaman dan pejabat Zuraida.

“Pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 16 Nov ini,” kata Leong menerusi aplikasi WhatsApp selepas prosiding pengurusan kes itu di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi Nor Afidah Idris yang dijalankan menerusi e-review (dalam talian) hari ini.



Leong berkata plaintif telah menghantar pemakluman menerusi pos berdaftar kepada Zuraida memintanya melantik peguam untuk menerima writ saman tersebut bagi pihaknya.

“Kami dalam proses membuat janji temu untuk dia menerima saman berkenaan. Pengurusan kes akan datang adalah untuk memaklumkan perkembangan terkini kepada mahkamah berhubung kes ini serta mendapatkan arahan selanjutnya,” kata Leong.

Tuntutan RM10 Juta, PKR parti sudah rosak – Azmin



Saman itu difailkan oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail bagi pihak parti pada 2 Okt lalu, mendakwa Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menandatangani suatu bon pada 25 April 2018 yang mengikatnya untuk membayar RM10 juta kepada parti seperti yang dinyatakan dalam syarat dan terma bon itu.

PKR mendakwa Zuraida telah bersetuju untuk membayar sejumlah RM10 juta dalam tempoh selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara, termasuk dia keluar parti atau menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat Bebas selepas menang pilihan raya atas tiket PKR.

Parti itu juga mendakwa pada 24 Feb, Zuraida dalam kenyataan bersama-sama 10 lagi ahli Parlimen PKR, mengumumkan keluar parti tanpa melepaskan kedudukan sebagai Ahli Parlimen Ampang, dan seterusnya membentuk blok baru dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN) dengan parti pembangkang lain termasuk Barisan Nasional, PAS dan Gabungan Parti Sarawak.

PKR berkata kerajaan persekutuan yang diterajui PH kemudian ditumbangkan oleh PN dan defendan dilantik sebagai menteri.



Pada tarikh sama, PKR mendakwa Majlis Pimpinan Pusat parti meluluskan resolusi untuk memecat Zuraida daripada parti berkuat kuasa serta-merta dan mengeluarkan sijil bertarikh 24 Julai yang mengesahkan penamatan keahliannya.

PKR tuntut 20 wakil rakyat keluar parti bayar RM10 juta dalam tempoh 7 hari

Pada 7 Ogos, PKR mendakwa ia, menerusi peguam parti, telah mengeluarkan surat tuntutan meminta Zuraida membayar RM10 juta selaras dengan terma bon, namun parti mendakwa defendan gagal/enggan membayar jumlah itu, secara keseluruhan mahupun sebahagian.



Plaintif juga mendakwa ia berhak menuntut RM10 juta daripada defendan kerana dia meletak jawatan sebagai ahli parti namun tidak sebagai Ahli Parlimen Ampang, iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket parti, menggunakan logo, lambang, bendera, perkhidmatan dan sokongan parti, yang mana menyebabkan parti kehilangan manfaat dan kelebihan mempunyai ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan menjadi sebahagian daripada kuasa eksekutif.

Plaintif berkata ia bersandar pada Seksyen 71 Akta Kontrak 1950 yang memberikannya hak untuk mendapatkan semula ganjaran dan faedah berjumlah RM2,049,459.20 yang dinikmati oleh defendan selepas dipilih sebagai calon parti pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan menjadi Ahli Parlimen Ampang.

Sehubungan itu, plaintif memohon sejumlah RM12,049,459.20 menurut Seksyen 71 Akta Kontrak, merangkumi RM10 juta di bawah bon dan RM2,049,459.20 bagi ganjaran dan faedah yang diterima defendan selaku ahli Parlimen serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah kerajaan PH dengan kadar faedah lima peratus setahun serta kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

-Bernama



Bekas Peguam Negara saman Kit Siang RM10 juta



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker