Pointilis lukisan titik
Pada pandangan mata kasar manusia biasa, seorang pelukis adalah insan terpilih yang dijadikan Tuhan dengan kehebatan melakar strok dan mewarnai karakter untuk membentuk sesuatu imej.
Namun, bagi seorang pelukis muda, Muhammad Yusri Shah Iwan Shahrom Shah, 24, dari Jugra, Banting, Selangor tanpa bakat yang diasah, setiap pelukis akan kekal di takuk lama iaitu melukis dengan strok yang sama tanpa ada kemajuan.
“Paling penting bagi saya, setelah beberapa tahun menghasilkan lukisan di atas kanvas dan secara digital, saya merasakan masanya sudah tiba untuk saya bereksperimen. Kita perlu berani keluar daripada kepompong selesa yang pelukis lain sudah banyak hasilkan.
“Entah bagaimana ia bermula, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada hujung Mac lalu, saya ditakdirkan meneroka dimensi baharu dalam dunia seni lukis yang sebenarnya mempunyai pelbagai cabang,” kata pelukis pointilis itu kepada K2.
Muhammad Yusri berkata, semasa PKP, dia seperti orang lain terkurung di rumah tanpa aktiviti yang produktif atau mendatangkan hasil.
Ceritanya, semasa duduk menghadap kertas lukisan dan memegang pen dakwat hitam dengan mood untuk melukis, dia mula menitik satu demi satu dengan hujung pen hingga terbentuk imej manusia.
“Jika diikutkan, saya pernah mempelajari seni lukis yang dikenali sebagai pointilis ini semasa belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), namun ia sekadar memenuhi tuntutan kursus. Namun, kebosanan semasa PKP ada hikmah tersendiri apabila saya menemui identiti lukisan saya.
“Setelah yakin dan mampu melukis dengan kaedah sedemikian, saya memberanikan diri untuk mula membuka tempahan potret pointilis melalui Facebook yang mana banyak tempahan telah diterima sejak beberapa bulan lalu,” katanya.
Pointilis adalah salah satu daripada teknik penghasilan lukisan. Bagi menghasikan lukisan teknik ini, alat yang diperlukan adalah pen dakwat basah. Penggunaan pen mata bola akan memberikan hasil yang tidak memuaskan.
Trend
Muhammad Yusri yang merupakan graduan UiTM dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dan kini mengikuti kursus peringkat sarjana bidang sama berazam untuk terus menghasilkan lukisan titik hitam tersebut.
Katanya, untuk menjadi pelukis lukisan pointilis seseorang pelukis memerlukan kesabaran dan ketekunan tinggi kerana lukisan wajah dan objek yang perlu dititik mampu mencecah hingga ribuan titik mengikut saiz lukisan.
Katanya lagi, harga setiap lukisan pula bergantung kepada saiz objek yang memerlukan dibuat titikan, adakalanya dari pagi hingga ke petang.
“Setelah tempahan semakin banyak, masa saya habis di dalam bilik sepanjang PKP bermula hinggalah ke hari ini.
“Keluarga saya sendiri iaitu ibu bapa dan adik-adik sudah lali dengan kerja saya yang asyik membuat titikan dakwat pen kerana perlu melakukannya dengan penuh teliti,” katanya.
Pemegang tali pinggang hitam taekwondo ini menjelaskan, untuk saiz lukisan bersaiz kertas A4 ujarnya, titikan yang dibuat adalah sebanyak 3,000 titik dan jika ada yang hendak menempah lukisan bersaiz A3 yang penuh, sebanyak 5,000 titik diperlukan untuk menyiapkan sesuatu lukisan.
Muhammad Yusri yang memiliki kedai Art Dot Galeri & Studio Seni di Bazaar Banting berkata, sebagai pelukis muda dia merasakan seni lukis pointilis kini menjadi identiti lukisan dirinya.
Ujarnya lagi, mengikut trend masa kini, selain gambar potret insan tersayang ditempah, ramai juga pelanggan yang ingin memiliki potret artis kesayangan mereka dalam bentuk seni pointilis.
Dia menambah, antara potret pelakon yang dilukis secara pointilis adalah Mira Filzah, Zizan dan Shaheizy Sam. Muhammad Yusri juga menghasilkan potret Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Lukisan pontilis potretnya dijual pada harga antara RM55 hingga RM105 mengikut saiz potret serta gambar individu atau pasangan.
Namun, di sebalik bakat di dalam seni lukisan pointilis, pada hakikatnya Muhammad Yusri juga mampu melukis dalam lain-lain teknik lukisan kreatif.
Antara lukisan yang menjadi ‘makanannya’ selama ini adalah lukisan potret, mural dan lukisan digital.
Muhammad Yusri memberitahu, seni pointilis merupakan sumber rezeki baharunya setelah sekian lama menceburkan diri dalam industri kreatif.
“Setiap pelukis mempunyai lakaran yang berbeza antara satu sama lain tidak kira melukis kartun, potret mahupun abstrak.
“Cuma dibimbangi itu akan membawa kepada identiti yang sama sehingga berlaku masalah paten berpunca daripada ego dalam diri masing-masing,” katanya.
Mengulas lanjut, dia yang turut meminati novel Sherlock Holmes berkata, sebagai pelukis baharu sudah pasti dia mempunyai idola dalam berkarya tetapi bukanlah untuk ditiru gaya lukisannya.
“Contohnya, saya sering merujuk kepada pelukis seni pointilis di media sosial, namun tiada niat untuk meniru kreativiti orang lain sebaliknya untuk belajar meningkatkan skil melukis diri sendiri,”katanya.
Sebagai insan biasa, Muhammad Yusri bukanlah sentiasa terperuk bersama pen hitam dan kertas lukisan semata-mata, ini disebabkan dia turut aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan di daerah tempat tinggalnya.
Katanya, selain menjadi Ahli Peladang Muda Muhammad Yusri juga aktif dalam Kelab Sukarelawan dan Kecergasan Kuala Langat dan Kelab Taekwondo Saujana.
“Bila kita aktif berpersatuan sudah pasti kita mengenali lebih ramai orang dan ini memudahkan kita memasarkan produk yang kita hasilkan.
“Zaman ini kita perlu bersaing dengan semua orang. Bukan sekadar untuk pemasaran tetapi demi memastikan kita mengatur strategi kehidupan dengan lebih sistematik,” katanya.
Sebagai BBNU atau Budak-Budak Baru Nak Up, Muhammad Yusri juga gemar mendengar muzik sewaktu melukis.
Lebih mengejutkan antara penyanyi yang disukai bukanlah penyanyi muda era ini tetapi kumpulan penyanyi 90-an seperti KRU, Westlife dan Backstreet Boys.
“Bagi saya, lagu-lagu lama lebih mendamaikan fikiran.
“Sebagai pelukis kita perlukan inspirasi seperti penceritaan dalam lirik yang penuh puitis sekali gus memberi idea untuk saya zahirkan di atas kertas atau kanvas,” katanya.-Kosmo Online
Tulis nama ‘Al-Sultan Abdullah’ sampai terbentuk potret Agong
You must be logged in to post a comment.