Kabinet setuju darurat, PM dijangka mengadap Agong
Kabinet bersetuju dengan pelaksaan darurat bagi menangani penularan Covid-19.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas hari ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Putrajaya.
“Tunggu pengumuman,” kata seorang menteri yang enggan namanya didedahkan ketika dihubungi Malaysiakini.
Langkah itu diambil susulan ketidaktentuan berterusan dalam negara dan ketika Muhyiddin berdepan desakan daripada luar dan dalam.
Sementara itu, memetik sumber, The Malaysian Insight melaporkan perkataan “darurat” itu harus dipakejkan semula supaya tidak mencetuskan rasa panik di kalangan rakyat.
“Mereka tak akan panggil darurat, tetapi nama baru lain. Sesuatu yang berkaitan dengan Covid-19,” menurut sumber itu.
Malaysiakini difahamkan Muhyiddin dijangka mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan perkenan baginda.
Bagaimanapun, perkara ini masih tidak dapat disahkan. Malaysiakini
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dikatakan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini, di tengah-tengah perbincangan Putrajaya sedang mempertimbangkan untuk mengisytiharkan darurat berikutan situasi semasa Covid-19.
Ketika dihubungi, seorang anggota Kabinet mengesahkan perkara itu kepada FMT, usaha untuk melaksanakan darurat sedang dijalankan. Malah seorang lagi sumber turut mengesahkan perkara itu ketika ditanya FMT.
“Perdana Menteri dalam usaha menghadap Agong,” kata seorang anggota Kabinet yang enggan namanya didedahkan.
FMT difahamkan Agong ketika ini berada di Pahang dan pertemuan itu dijangka berlangsung pada 5 petang itu. FMT
You must be logged in to post a comment.