Gencatan politik: Sengketa mungkin belum berakhir

Umno akhirnya menamatkan perang mulut dalam Perikatan Nasional (PN) dengan mengumumkan gencatan politik dan menegaskan semula sokongan parti itu terhadap Perikatan Nasional (PN).

Ini merupakan satu kejutan bagi kebanyakan pemerhati politik memandangkan biro politik Umno pada minggu lepas meminta kerjasama dengan PN dipertimbangkan semula.

Dalam kenyataannya semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendakwa dia mewakili pendirian Umno untuk melakukan gencatan politik bagi memastikan usaha menangani Covid-19 dapat diutamakan.

Kebiasaannya, Umno akan mengumumkan pendirian parti itu dengan meluluskan resolusi di peringkat majlis tertinggi (MT) yang merupakan badan eksekutif parti, sebelum mengumumkan keputusannya.

MT masih belum mengadakan mesyuarat pada bulan ini.

Ia dijadualkan untuk bermesyuarat semalam, tetapi dibatalkan pada saat akhir.

Berikut merupakan antara implikasi daripada pengumuman Zahid itu.


Penamat buat Anwar?

Sejak 23 September, Presiden PKR Anwar Ibrahim telah mengumumkan percubaan untuk menubuhkan kerajaan baru.

Langkahnya tersekat sejak awal lagi, apabila dia gagal mengadap Yang di-Pertuan Agong akibat kegeringan Seri Paduka pada masa itu.

Hanya selepas tiga minggu, barulah Anwar berjaya menghadap baginda pada 13 Okt, namun pertemuan Seri Paduka dengan ketua-ketua parti ditangguhkan ekoran perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Ahli Parlimen Port Dickson itu mendapat semula momentum apabila biro politik Umno, mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu perlu merundingkan kembali syarat atau menarik diri daripada menyokong PN.

Bagaimanapun, musuh Anwar mempunyai cukup masa untuk menenangkan mereka yang bakal beralih sokongan – besar kemungkinannya dari Umno – dan membuat tuntutan baru terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Kini setelah Zahid menjanjikan semula sokongan terhadap PN, yang diakui oleh PKR semalam, angka sokongan terbaru yang diperolehi Anwar dijangka goyah sekali lagi.

PN tak berpecah, buat masa ini

Ketegangan antara Umno dan Bersatu sampai kemuncaknya selepas pilihan raya negeri (PRN) Sabah, apabila Umno gagal mendapat jawatan ketua menteri meskipun menang lebih banyak kerusi berbanding Bersatu.

Pemimpin tertinggi Umno mengkritik Zahid kerana “mengalah” kepada Bersatu yang merupakan parti serpihan Umno, dan kemuncaknya adalah ancaman biro politik Umno untuk menarik diri daripada PN.

Dengan arahan baru Zahid agar Umno menyokong PN, Bersatu dan Muhyiddin buat masa ini kelihatan selamat, seperti mana ketika mereka mula-mula mengambil alih kuasa pada Mac lalu.

Zahid telah menjelaskan alasan bagi gencatan politik dan sokongan terhadap PN adalah bagi memberi tumpuan kepada krisis Covid-19 yang semakin memburuk, yang secara ironinya membantu PN dan Muhyiddin untuk bertahan lebih lama.

Bagaimanapun, tahap kesetiaan Umno bakal teruji pada 23 Nov ini, apabila undian kali pertama Belanjawan 2021 dijadual berlangsung.

Tawaran untuk Umno?

Tidak syak lagi, langkah Umno mengendurkan ketegangan akan mencetuskan pertanyaan mengenai apakah jaminan yang akan diperolehinya daripada Muhyiddin dan Bersatu berhubung tuntutan parti itu.

Salah satunya adalah spekulasi bahawa Umno mahukan lebih banyak jawatan penting dalam kabinet, termasuk timbalan perdana menteri, sekali gus meletakkan mereka dalam kedudukan yang boleh mengawal jawatankuasa kabinet.

Sebarang usaha daripada pendakwa raya untuk mengggugurkan kes rasuah membabitkan tokoh penting Umno juga boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk tawaran buat Umno.

Jika episod ini berakhir tanpa sebarang tawaran, peluang Zahid untuk mengekalkan kedudukan sebagai presiden Umno mungkin terjejas apabila penggalnya tamat pada 2021 nanti.

Cakap-cakap PRU-15 nampaknya mulai reda

Dengan Umno beralah, suara-suara yang sebelum ini menuntut PRU-15 diadakan sejak PN berkuasa Mac lalu, kali ini mungkin akan reda, di tambah pula dengan perang melawan Covid-19 terutama di Sabah.

Kestabilan politik akan membolehkan PN dan Muhyiddin meraih kepercayaan bahawa mereka menyelamatkan negara ketika krisis Covid-19 melanda, sebelum PRU diadakan.

Bagaimanapun, sumber-sumber yang rapat dengan PN membayangkan ia bersedia untuk sebarang kejutan yang mungkin berlaku di parlimen, termasuklah kemungkinan pilihan raya mengejut. Mk

Tindakan gencatan politik pengorbanan kedua UMNO

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker