Nabil menghidap hernia
Nabil ‘hilang’ kerana hidap angin pasang
Ketiadaan pelawak dan pengacara popular, Nabil Ahmad pada konsert minggu pertama program realiti Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) minggu lalu akhirnya terjawab.
Nabil memaklumkan dia menghidap angin pasang atau hernia sehingga tidak dapat mengacarakan program itu minggu lalu.
“Hidup ini ibarat laut. Ada masa surut ada masa pasang. Pada hari itu, pasang. Sebenarnya saya menghidap hernia,” katanya sewaktu pembukaan konsert minggu kedua GV7 sebentar tadi.
Minggu pertama GV7 menyaksikan kemunculan Datuk AC Mizal menggantikan Nabil pada saat-saat akhir.
AC Mizal menggantikan Nabil kurang daripada 24 jam sebelum konsert itu bersiaran secara langsung pada jam 9 malam.
Terdahulu, GV7 tetap diteruskan penyiarannya seperti dijadualkan tetapi tanpa kehadiran penonton susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 14 Oktober hingga 27 Oktober ini.
GV7 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) mengikut syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. HM
You must be logged in to post a comment.