Model baharu kukuhkan belia dan sukan

DATUK Seri Reezal Merican Naina Merican menganggap tugas baharu beliau sebagai Menteri Belia dan Sukan pada zaman Covid-19 begitu mencabar.

Beliau telah melihat sendiri begitu ramai anak muda yang masih terkapai-kapai untuk membina kehidupan susulan pandemik itu manakala industri sukan Malaysia yang bernilai jutaan ringgit terjejas teruk akibat Covid-19.

Bagaimanapun, dalam wawancara bersama Sinar Ahad minggu ini, beliau yang menjadi Menteri Belia dan Sukan sejak Mac tahun ini amat optimis malah bercita-cita menjadikan industri sukan sebagai pencipta kekayaan untuk negara.

Beliau juga menjelaskan tiga paksi utama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di bawah kepimpinan beliau iaitu pembangunan sukan, pembangunan belia dan kemahiran.

Ikuti temu bual Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin; Pengarang Sukan, Azizul Fahmi Ahmad Zabidi; Penolong Pengarang Pengisian Berita, Junhairi Alyasa dan wartawan Muhammad Zakwan Nazaraly bersama anak jati Pulau Pinang berusia 48 tahun itu di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

SINAR AHAD: Datuk Seri dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan secara rasmi pada 9 Mac lalu. Dalam tempoh lapan bulan ini, bagaimanakah Datuk Seri melihat perjalanan Datuk Seri ketika memegang portfolio sebagai Menteri Belia dan Sukan?

REEZAL MERICAN: Saya diberi amanah sebagai Menteri Belia dan Sukan kebetulan ketika bermulanya pandemik Covid-19. Ia tentulah satu tanggungjawab dan tugas yang mencabar.

Hasrat Perdana Menteri 4 hari, Buang Raja-Raja Melayu & Hapuskan Hak Keistimewaan [Video]

Semua sektor dalam negara terpaksa ditutup dan tidak terkecuali sektor sukan. Penutupan sektor sukan menyebabkan ia memerlukan penyesuaian dengan norma baharu dan akan memberi kesan terutamanya tatkala kita sedang membuat persiapan untuk Olimpik Tokyo 2020.

Kejohanan besar dalam negara seperti Sukma 2020 terpaksa ditangguhkan. Ini sedikit sebanyak memberikan pengalaman baharu kepada saya untuk bekerjasama dengan komuniti yang sama sekali berbeza dengan pengalaman saya pada masa lalu.

Reezal Merican tetap optimis menjadikan industri sukan sebagai pencipta kekayaan untuk negara.
Dari sudut belia, ia tidaklah begitu janggal kerana saya pernah bergelumang sebagai aktivis belia, dulu saya pernah menjadi Presiden GPMS (Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung), jadi saya dapat menyelami keperluan-keperluan dari segi kepimpinan dalam perjuangan belia.

Sukan boleh dipanggil sebagai satu industri. Apabila terkena Covid-19, semua terkesan. Bagaimanakah Datuk Seri melihat industri sukan yang terkesan akibat Covid-19?

Kalau nak kira industri sukan bukan hanya terkesan di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. Sebab itulah kalau diingat lagi pada bulan Mac apabila bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kemudian diperkenalkan PKPB, saya berusaha untuk memastikan sektor sukan dapat dibuka semula. Itu sahaja cara untuk kita bantu. Bukan sahaja kejohanan bola sepak seperti Liga Malaysia, tetapi pengendali fasiliti sukan komersial seperti padang dan gelanggang badminton, semuanya mengalami kesan yang teruk.

Selain daripada itu, saya juga telah mengemukakan beberapa cadangan kepada Kementerian Kewangan agar satu bentuk bantuan dapat dibuat secara khusus terutamanya dalam Belanjawan 2021 nanti. Namun, sementara menunggu bantuan itu, saya telah buat pengumuman mengenai insentif prihatin sukan pada bulan Julai lalu yang berjumlah RM10 juta untuk membantu semua persatuan sukan kebangsaan dan persatuan sukan negeri.

Semasa pelantikan Datuk Seri sebagai Menteri Belia dan Sukan, ada orang kecam sebab sebelum ini jawatan tersebut disandang oleh orang muda dan sepatutnya jawatan tersebut diberikan kepada orang yang lebih muda. Apakah perasaan Datuk Seri ketika itu?

Saya tak anggap itu kecaman. Saya anggap ia satu bandingan yang agak natural. Tetapi hakikatnya kalau kita lihat sebelum ini, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek jadi Menteri Belia dan Sukan semasa berumur 51 tahun, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jadi masa umur 48 tahun. Saya kiranya antara menteri yang muda juga. Kalau lihat di ASEAN, Menteri Belia dan Sukan Singapura berumur 50 tahun, Indonesia juga umur 50 tahun ke atas, Thailand 57 tahun, Jepun hampir mencecah 60 tahun. Maknanya bukan umur yang menjadi ukuran.

Mungkin antara sebab saya diletakkan di kementerian ini adalah untuk melakukan pengimbangan. Selalunya menteri yang datang ke KBS sentiasa dipersalahkan kerana memberi keutamaan yang lebih kepada sukan berbanding belia.

Mahathir, Ku Li bakal bentuk kerajaan interim?

Hakikatnya perkara itu akan sentiasa dilihat sebab apabila kita buka akhbar atau televisyen, sukan ada segmen khas sendiri tetapi belia kurang mendapat liputan. Namun, apabila berlaku wabak Covid-19, antara golongan yang terkesan ialah belia yang kehilangan pekerjaan. Ini semua akan menjadi perjuangan saya di kementerian ini.

Apakah cabaran utama belia di Malaysia sekarang?

Cabarannya adalah perubahan kehendak pasaran yang berlaku di seluruh dunia khususnya dari segi kemahiran.

Sebab itu dalam tempoh akan datang, saya memikirkan keperluan untuk belia melengkapkan diri dengan kemahiran terutama dalam Revolusi Industri 4.0. Apabila terjadi wabak Covid-19, proses ke arah norma baharu adalah melalui platform digital, perkara ini perlu dibekalkan kepada belia. Apa yang dibuat di bawah program Penjana (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) adalah untuk melengkapkan kemahiran dan juga melakukan kemahiran silang.

Ada pelajar yang sedang belajar kemahiran di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) umpamanya mungkin pada waktu ini tidak boleh dipasarkan kerana industri berkaitan terkesan dengan Covid-19. Contohnya, industri hospitaliti, hotel dan pelancongan, jadi belia perlu dilengkapkan dengan kemahiran lain.

Inilah yang dilakukan di KBS. Saya sudah menjelajah hampir tujuh kementerian lain yang saya panggil sebagai cross ministerial collaboration. KBS ini walaupun sebuah kementerian belia tetapi hakikatnya segala kemudahan dan keperluan belia berada di kementerian lain. Dari segi soal penciptaan pekerjaan, misalnya, ada di Kementerian Sumber Manusia; dari segi keusahawanan, ada di Kementerian Pembangunan Usahawan dan kalau dari segi pembangunan belia desa, ada di Kementerian Luar Bandar.

Apa yang saya lakukan adalah mewujudkan jaringan kerjasama dan merangkumkan tujuh kementerian tadi menerusi Single Landing Page. Maknanya jika mendaftar di KBS, mereka boleh gunakan fasiliti di kementerian lain. Program ini sedang dibangunkan. Selewat-lewatnya awal tahun depan kita akan lengkapkan integrasi tersebut untuk membolehkan belia mendapat kemudahan dan kemahiran tambahan.

Dalam keadaan kegawatan ekonomi dan juga kehilangan pekerjaan susulan Covid-19, apakah yang Datuk Seri bimbang berhubung masa depan belia di negara ini?

Mungkin salah satu kerisauan ialah fasiliti yang disediakan oleh kerajaan tidak ada capaian kepada belia di kawasan tertentu. Keduanya, berlaku jurang antara belia di kota dan di pedalaman. Saya fikir peluang itu perlu diratakan. Dengan adanya Single Landing Page ini, kita harap capaian kepada kemudahan ini dapat dinikmati oleh belia.

Dalam tempoh Covid-19 ini KBS turut simpulkan belia kepada lima kategori Belia Resah. Pertama, mereka yang berada di peringkat universiti yang mahu masuk ke alam pekerjaan. Mereka ini risau apabila keluar nanti tiada pekerjaan. Kedua, mereka yang berada dalam bidang keusahawanan, apabila berlaku Covid-19 kebanyakan perniagaan terkesan dan terpaksa gulung tikar.

Ketiga, belia yang berada dalam gig ekonomi yang mana mereka tiada kemahiran lain. Jika mereka tidak ada sebarang usaha untuk meningkatkan kemahiran, mereka mungkin terdedah kepada segala kesukaran dalam hidup.

Selain itu, belia yang sudah bekerja, namun apabila tercetus Covid-19 mereka berkemungkinan akan dibuang kerja. Kumpulan kelima ialah kategori belia ‘NEET’ (Not in Education, Employment, or Training) yang tidak berpendidikan, tidak bekerja dan tiada latihan kemahiran yang perlu diberi sokongan. Salah satu program yang sedang diusahakan oleh KBS ialah Skim Perantisan Nasional yang menyediakan hampir 10,000 peluang penempatan pekerjaan kepada beliau.

Dengan berlakunya penguncupan ekonomi sejak 10 bulan yang lepas, bagaimanakah Datuk Seri melihat keupayaan kerajaan untuk terus memberikan peruntukan kepada belia dan juga sukan dalam Belanjawan 2021?

Saya lihat ia memang sesuatu yang sukar. Sebab itu satu bentuk model dana kepada sukan dan belia perlu melalui model yang diubah suai. Kita tidak boleh lagi ada perbelanjaan yang tiris. Dalam dalam masa yang sama, kesukaran ini perlu dilihat sebagai satu cabaran.

Sekarang kita ada satu lagi sukan yang mendapat tempat iaitu e-sport, yang mana sukan ini mempunyai capaian yang cukup besar. Setakat ini jumlah peminat e-sport di Malaysia adalah seramai 16 juta, satu jumlah yang besar. Malah, kita bukan lihat dari aspek orang yang terlibat dan bermain, tetapi juga mereka yang menonton. Orang yang menonton mencapai sehingga puluhan juta. Ini menunjukkan betapa sukan ini boleh digunakan untuk mencapai golongan muda.

Di KBS, sukan ini dimulakan oleh menteri yang lalu dan sudah ada kerangka awal untuk melihat perkembangan e-sport dan kita akan teruskan. Ini merupakan sukan baharu yang memerlukan pendanaan.

Maszlee sokong Anwar di luar pengetahuan Mahathir

Selepas ketiadaan Datuk Lee Chong Wei dalam acara badminton untuk beraksi pada Sukan Olimpik, siapa lagi yang boleh diharapkan menjelmakan emas sulung untuk Malaysia?

Saya sebagai Menteri Belia dan Sukan tak bolehlah hendak menamakan secara spesifik siapa yang ada dalam benak saya yang boleh menyumbang emas pertama Olimpik. Tetapi, memadai untuk saya katakan bahawa dalam tempoh persiapan yang kita lakukan berdasarkan Program Podium, alhamdullilah telah mencapai kejayaan walaupun bukan secara keseluruhan.

Saya dapat katakan kita ada banyak atlet sebelum Covid-19 yang menunjukkan peningkatan luar biasa. Contohnya Mohd Azizulhasni Awang, bayangkan dalam dua tahun beliau mampu berada di podium sebanyak 14 kali dalam 20 kejohanan yang disertai. Ia satu pencapaian yang baik. Lee Zii Jia, siapa sangka dalam Kejohanan Badminton All England, dia menang dengan Cheng Long dan Jonatan Christie. Malah, dia hanya tewas sedikit sahaja kepada Viktor Axelsen. Dalam tempoh setahun, daripada kedudukan ke-40, dia sudah berada pada kedudukan 10 pemain terbaik dunia.

Begitu juga atlet-atlet kita yang lain termasuk atlet para telah menunjukkan peningkatan yang ketara. Saya yakin insya-ALLAH Olimpik 2020 yang akan berlangsung tahun depan bakal menyaksikan idaman rakyat Malaysia untuk kita menang emas pertama bakal menjadi realiti.

Setelah Datuk Seri menjadi Menteri Belia dan Sukan, mungkin selepas ini Datuk Seri berubah kementerian atau menyertai karier lain. Apakah yang Datuk Seri mahu tinggalkan dalam kementerian ini?

Pertamanya, kementerian ini diasaskan dalam tiga paksi utama iaitu pembangunan sukan, pembangunan belia dan kemahiran. Namun, saya wujudkan satu lagi iaitu industri sukan. Saya mahu supaya industri sukan ini menjadi pencipta kekayaan kepada negara. Jangan tengok sesuatu sukan itu hanya sebagai sukan tetapi lihat kepada spin-off effect, dari segi penyediaan peralatan sukan, media dan kejurulatihan misalnya.

Kalau tengok contohnya sukan golf, spin-off sukan tersebut nilainya mencecah ratusan jutaan ringgit. Maknanya sukan boleh menyumbang kekayaan. Kalau kita pergi ke China, sukan menjadi salah satu cabang menyumbang kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar).

Dalam kita nak menuju kepada rakyat yang 100 peratus bersukan yang digerakkan oleh Khairy Jamaluddin dahulu, salah satu caranya adalah menyemarakkan industri sukan. Ia boleh menjadi salah satu peluang pekerjaan dan kekayaan baharu.

Selain itu, saya juga mahu memastikan sukan e-sport dapat dimainkan seramai mungkin. E-sport ini salah satu kerangka pelan strategik untuk memastikan kita boleh cungkil bakat atlet yang dapat harumkan nama negara. Sukan tersebut telah dimainkan pada Sukan SEA, dan kemungkinan pada Sukan Asia dan tidak mustahil akan dimainkan pada Sukan Olimpik. Selain itu, saya tidak mahu anak-anak muda kita hanya jadi pemain, tetapi saya nak juga melihat kepada skop yang lebih luas terutama dari segi game publisher dan content creation, itu boleh menjana pendapatan. Jadi itulah apa yang saya nak tinggalkan di kementerian ini nanti.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

Jawatan sekarang: Menteri Belia dan Sukan

Umur: 48 tahun (1972)

Asal: Pulau Pinang

Pendidikan: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Politik: Ahli Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang (UMNO)

Timbalan Menteri Luar (2015-2018)

Bekas Setiausaha Politik Tun Abdullah Ahmad Badawi

Bekas Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)

Anak beranak maut dalam nahas kereta

 

Pandangan terhadap tiga Perdana Menteri

Saya pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi dan pernah menjadi Timbalan Menteri Luar semasa zaman Datuk Seri Najib Tun Razak. Sekarang saya pula berada dalam era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah, kalau diikutkan saya juga pernah berada di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menjadi Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Saya melihat semua pemimpin ini mempunyai stail tersendiri.

Tetapi ketiga-tiga pemimpin ini mempunyai satu persamaan iaitu mereka membuat keputusan

Kalau masih ingat Pak Lah dahulu, walaupun tempoh pentadbirannya tidak terlalu panjang, tetapi beliau buat keputusan yang penting iaitu menjulang pertanian sebagai industri yang akhirnya menjana kepada kekayaan negara.

Begitu juga pada zaman Datuk Seri Najib. Walaupun beliau tidak dapat turun melihat sendiri sesuatu aktiviti tetapi saya fikir beliau seorang yang mendengar, contohnya pembelaan terhadap nelayan.

Tun Abdullah datang daripada latar belakang yang berbeza, beliau tahu bahawa hidup nelayan itu susah, maka beliau memperkenalkan wang sara hidup RM200 kepada nelayan. Tetapi apabila Datuk Seri Najib datang, apabila kos meningkat, beliau menaikkan wang sara hidup daripada RM200 ke RM300.

Beliau tidak pernah turun ke laut, tetapi dalam mesyuarat beliau seorang yang mendengar.

Begitu juga Tan Sri Muhyiddin, tatkala negara sedang bergelut dengan bermacam dakwa dakwi, ekonomi dan hutang negara tinggi, beliau membuat keputusan melancarkan pelan rangsangan ekonomi, memperkenalkan Bantuan Prihatin Nasional dan memberikan insentif yang menelan belanja sekitar RM250 bilion.

Ini merupakan satu keputusan besar dan beliau mengambil keputusan itu demi rakyat dan negara.

Ketiga-tiga mereka merupakan pembuat keputusan dalam cara mereka sendiri dalam latar belakang iklim politik yang berbeza. Tetapi, saya fikir untuk menakhodai kepimpinan negara, seseorang perlu membuat keputusan yang tepat pada waktu yang betul.

Pengajaran berharga ketika menjadi pembangkang

SAYA fikir salah satu pengajaran penting sewaktu menjadi pembangkang adalah untuk menjadi ahli politik yang dihormati. Kita perlu menjadi orang yang bercakap berdasarkan fakta. Menjadi pembangkang perlu mengkritik berdasarkan fakta.

Begitu juga kalau mahu mengadakan dasar baharu, ia juga perlu berasaskan fakta dan realiti. Sebab rakyat tidak boleh dihidangkan dengan perkara separuh masak kebenarannya, apatah lagi pembohongan. Mungkin boleh berlaku sekali dua tetapi akhirnya rakyat akan tahu juga.

Politik merupakan medan pertarungan persepsi yang hebat. Apabila diwarnai persepsi tersebut kadang-kadang ia akan membentuk sebuah kepercayaan.

Tetapi pada akhirnya kalau ia bukan kebenaran, rakyat akan tahu. Begitu juga seperti yang disebut oleh kerajaan terdahulu seperti hutang terlalu tinggi dan negara muflis, namun Tan Sri Muhyiddin membuktikan sebaliknya menerusi pengumuman pakej rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion.

Darurat langkah terakhir, reda kemelut politik negara – Pakar perlembagaan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker