Polis rampas RM2.5 juta di kediaman mewah sindiket pelacuran

Share

KUALA LUMPUR – Polis merampas wang tunai hampir RM2.5 juta dalam serbuan di sebuah rumah mewah sindiket pelacuran di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, dalam serbuan jam 10 malam itu, pihaknya menemui wang tunai di dalam beg pakaian yang disimpan di dalam bilik di kediaman berkenaan.

“Kita percaya wang itu boleh digunakan untuk aktiviti pengubahan wang haram, namun kita akan melakukan siasatan lebih lanjut berhubung kes ini,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, semalam.

Huzir berkata, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman telah menahan lapan individu dalam serbuan itu.

“Kita telah menahan empat lelaki dan dua wanita warga China serta seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia 22 hingga 48 tahun,” katanya.

Sindiket pelacuran masih aktif, tidak peduli COVID-19

Beliau berkata, pihaknya merampas tiga komputer riba dan empat telefon bimbit serta beberapa pil disyaki dadah sintetik.

“Kami juga menemui beberapa aplikasi wang kripto pada komputer riba yang dirampas,” katanya.

Huzir berkata, terdahulu dalam serbuan berasingan, sepasukan anggota polis D7 Bukit Aman telah menyerbu sebuah unit kondominium di Kajang pada jam 2 petang.

“Seramai tujuh lelaki dan seorang wanita warga China berusia antara 21 hingga 28 tahun ditahan. Kita juga merampas dua komputer riba dan 15 telefon bimbit,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya yakin unit kondominium itu digunakan sebagai pusat panggilan untuk mempromosikan aktiviti pelacuran kepada pelanggan di China.

“Sindiket yang baharu beroperasi sejak dua bulan lalu itu menyasarkan pelanggan di China untuk perkhidmatan pelacuran dan juga beberapa aktiviti penipuan. Manakala dua warga tempatan yang ditahan itu bertindak sebagai koordinator sindiket tersebut bagi mencari premis untuk dijadikan sebagai pusat panggilan serta penginapan anggota sindiket itu di sini,” katanya.

Sindiket jual dokumen palsu ujian Covid-19 dibongkar, warga Bangladesh dicekup

Leave a Reply