Tindakan Ahmad Zahid boleh timbulkan ketidakpercayaan ahli UMNO – Penganalisis
KUALA LUMPUR: Kepercayaan ahli UMNO akan pudar kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seandainya benar Presiden parti itu benar-benar menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri yang baharu.
Felo penyelidik dari Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM MAPAN), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri menegaskan, ia sekali gus akan memberi kesan besar dan isyarat tidak baik kepada parti itu sendiri.
“Impaknya besar kalau (Ahmad Zahid) beri sokongan kepada Anwar, ini akan menyebabkan masalah kebolehpercayaan daripada ahli apabila presiden buat signal tidak baik.
Pada Jumaat, sebuah portal mendakwa, Ahmad Zahid dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menulis surat kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyokong Pengerusi Pakatan Harapan itu membentuk kerajaan baharu.
Portal berkenaan mendakwa, surat bertarikh 11 Oktober menyatakan, kedua-dua Najib dan Ahmad Zahid bersama sejumlah Ahli Parlimen UMNO bersetuju menyokong Anwar.
Dalam pada itu Dr Achmad Dzariean menegaskan, Perikatan Nasional (PN) perlu berbuat sesuatu jika benar perkara ini benar berlaku.
“Dari hari ke hari kita lihat banyak Ahli Parlimen menyatakan usul tidak percaya kepada kerajaan sekarang.
“Sekiranya dakwaan ini tidak benar, maka pihak PN juga perlu mengambil tindakan serius dengan melihat kembali atau memanggil kembali Presiden parti yang berada dalam PN dan UMNO yang di luar untuk kembali berunding dan menyelesaikan perkara ini dengan baik,” katanya.
Sebelum ini, 16 Ahli Parlimen dari Pejuang dan Parti Amanah Negara (Amanah) memfailkan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.-Awani
https://mykmu.net/2020/10/17/surat-umno-kepada-agong-sokong-anwar/