Kakitangan penyewa premis di Sogo positif Covid-19
Kuala Lumpur: Seorang kakitangan kepada penyewa sebuah premis di tingkat tujuh pusat beli-belah Sogo Kuala Lumpur, di sini, disahkan positif Covid-19, semalam.
Sogo Malaysia dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan kakitangan yang bertugas di premis, All IT Hypermarket itu tidak hadir bekerja sejak 12 Oktober lalu dan kini berada dalam pemantauan hospital.
“Berdasarkan perkembangan terbaharu ini, kami mengambil langkah keselamatan awam dengan segera dalam usaha mengehadkan sebarang potensi berisiko, termasuk penutupan serta-merta premis berkenaan dan seluruh tingkat tujuh hari ini untuk kerja sanitasi.
“Tingkat tujuh akan dibuka semula kepada pengunjung esok kecuali premis All IT Hypermarket yang akan terus ditutup sehingga notis lanjut,” katanya.
Kenyataan itu juga memaklumkan pihak pengurusan pusat beli-belah berkenaan giat mengesan kontak rapat kakitangan terbabit melalui daftar masuk kod QR.
“Semua rakan sekerja di premis berkenaan sudah menjalani ujian dan diarahkan menjalani kuarantin kendiri.
“Kami akan meneruskan langkah pencegahan dan berjaga-jaga kerana keselamatan dan kesejahteraan pekerja serta orang awam adalah keutamaan kami,” katanya.
Menurutnya, tingkat bawah dari paras LG sehingga tingkat enam pusat beli-belah itu beroperasi seperti biasa.
“Pelanggan yang memerlukan bantuan atau maklumat terkini boleh merujuk kepada saluran media sosial termasuk aplikasi mudah alih serta laman sesawang kami,” katanya-HM
Pekerja Mac City Di Pusat Beli-Belah 1 Utama Sah Positif Covid-19
You must be logged in to post a comment.