PRU 15: Pemimpin politik jangan lupa tanggungjawab
SHAH ALAM – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah pasti terpaksa dilaksanakan sekiranya pertikaian antara pemimpin politik dan perebutan kuasa yang berlaku ketika ini tidak dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, PRU15 mengejut tidak dapat dielakkan sekiranya pemimpin politik melupakan maksud sebenar kedudukan yang mereka miliki.
“Disebabkan itu, pemimpin yang dipilih wajar menghayati maksud dan matlamat demokrasi berperwakilan iaitu menerima amanah dan membawa kebaikan kepada rakyat selaku pengundi.
“Walaupun undang-undang mengizinkan pertukaran kerajaan dan perebutan kuasa, pemimpin perlu bertanggungjawab dalam melakukan sesuatu langkah politik yang boleh mendatangkan mudarat kepada rakyat dan negara.
“Hal ini kerana parti mana sekalipun yang menang, paling cepat tiga hingga ke empat bulan baru kerajaan baharu dapat mengatur langkah dan strategi untuk mengurus dan mentadbir negara,” katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Justeru, Wan Ahmad berkata, pemimpin politik perlu mengetepikan politik dengan menunjukkan sikap berhemah dan jiwa besar dengan menyelesaikan politik perebutan kuasa secara medan rundingan.
Tambah beliau, kesan yang menimpa rakyat iaitu peningkatan mendadak kes penularan Covid-19 di seluruh negara selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu perlu dijadikan iktibar.
“Dalam keadaan negara dilanda penularan Covid-19, mengadakan PRU15 untuk menyelesaikan kemelut politik adalah amat tidak sesuai dan merupakan pilihan terakhir.
“Penularan virus akibat PRN Sabah amat membimbangkan. Disebabkan itu juga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terpaksa dikuat kuasakan semula di Sabah, Selangor dan Putrajaya.
“Bayangkan bahayanya jika pilihan raya umum (PRU) diadakan di seluruh negara,” katanya.
Wan Ahmad berkata, kebanyakan rakyat Malaysia juga sudah muak dengan kemelut politik di dalam negara lebih-lebih lagi ia berlaku ketika masyarakat sedang bergelut untuk menghadapi pandemik Covid-19.
“Jika ditanya apa yang rakyat mahu, rakyat tentunya mahukan keselamatan nyawa agar dapat diteruskan kehidupan tanpa diganggu dengan apa-apa tambahan masalah baharu.
“Tambah pula keadaan semasa kewangan negara yang tidak mengizinkan dan tentunya rakyat tidak bersedia untuk menghadapi PRU baharu,” jelasnya.
You must be logged in to post a comment.