Bila Pilihan Raya Umum ke-15?

SELEPAS kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, ramai mula menjangkakan ia memberi gambaran a feel good factor untuk mandat baharu kepada peneraju kerajaan.

Bahang Pilihan Raya Umum (PRU) semakin panas bila ia diikuti dengan kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa agihan kerusi dalam UMNO akan dimuktamadkan pada penghujung September yang seterusnya boleh membawa kepada kedudukan kerusi BN, MN, Pas dan Bersatu.

Begitu juga dengan report card Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberikan tumpuan ke atas 10 perkara hala tuju negara sebagai kebertanggungjawaban ke atas amanah dan integriti serta kewibawaan kepimpinan pusat.

Bagaimana mahu kita lakukan pemetaan ke atas senario ‘bila pilihan raya’? Beberapa perkara boleh dijadikan indikator. Pertama, adakah keyakinan dan kepercayaan pengundi berada pada paras yang kukuh di mana PN dan MN boleh memenangi majoriti kerusi bersama BN, Pas dan Bersatu. Bagaimanakah tafsiran dibuat ke atas kepercayaan; yakni adakah sokongan ke atas populariti Tan Sri Muhyiddin akan diterjemahkan kepada undi.

Kedua, adakah persaingan dalaman diminimumkan? Benarkah PH berhadapan dengan krisis kepimpinan atau defisit kepercayaan atau PH sedang merancang strategi secara senyap sejak kejatuhan mereka walaupun sukar membuat keputusan siapa ‘bakal Perdana Menteri’?

Ketiga, mampukah dominasi parti dielak dalam PRU15? UMNO, Bersatu dan Pas memegang kunci pintu ini. Bolehkah Pas bersetuju UMNO atau Bersatu menjadi dominan tetapi tidak pada agihan kerusi.

Keempat, ruang sentiasa terbuka kepada PH dan Tun Dr Mahathir Mohamad merancang semula jajaran politik mereka. Ini membuka peluang kepada kuasa ketiga muncul termasuk parti golongan muda yang mula berjinak. Adakah ini akan mempengaruhi keputusan pencarian mandat yang dimahukan daripada PRU?

Kelima, bersediakah parti politik dengan #Undi 18? Kelompok yang berumur 18 tahun dijangka boleh mengundi jika PRU diadakan selepas Julai 2021.

Keenam, ada andaian PRU15 akan diumumkan selepas pembentangan Belanjawan pada November 2020.

Stabil

Ketujuh, Singapura, Taiwan dan Korea Selatan mengadakan PRU pada tempoh masa pandemik Covid-19. Ini menunjukkan Malaysia tidak terkecuali apatah lagi sudah diuji melalui dua PRK iaitu di Chini dan Slim.

Kelapan, Rancangan Malaysia Ke-12 dijadualkan dibentangkan pada tahun hadapan walaupun pada asalnya ditetapkan pada 6 Ogos 2020. Impaknya besar kepada beberapa sektor yang mahukan jaminan kestabilan dan keadaan yang menentu. Ini menghampiri tempoh masa satu tahun PN memerintah.

Kesembilan, penjarakkan sosial dan fizikal telah membawa kepada penjarakkan politik kebelakangan ini apabila hadir beberapa kenyataan bercanggah dalam kem yang sama.

Ke-10, andaian PH sudah kehilangan sokongan perlu diubah kerana kematangan literasi politik pengundi tidak sama. Kesetiaan kepada parti ada di sebahagian konsituensi tetapi sebahagian lagi melihat kepada isu dan calon.

Ke-11, kesiapsiagaan pengundi Borneo yang merangkumi 56 kerusi Parlimen yang turut bersuara mahukan 1/8 daripada keseluruhan kerusi Parlimen.

Ke-12, selepas 28 bulan, adakah pengundi bersedia untuk kembali ke kotak mengundi jika diadakan antara November 2020 hingga Mac 2021? Bersediakah kita?

*Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia

 

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker