Juruterbang, penumpang pesawat ringan dikompaun
KUANTAN – Gara-gara tidak mempunyai surat kebenaran merentas sempadan negeri, dua juruterbang dan dua penumpang dikompaun setelah pesawat ringan yang mereka naiki mendarat di Lapangan Terbang Kampung Tekek di Pulau Tioman, Rompin, kira-kira 147 kilometer dari sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Azari Miskon berkata, keempat-empat individu termasuk seorang wanita telah berlepas dari Lapangan Terbang Subang, Selangor dan mendarat di lapangan terbang pulau peranginan itu pada kira-kira 3 petang.
“Selain juruterbang persendirian itu, kapal terbang tersebut dinaiki oleh pengurus keselamatan dan pengurus pemasaran sebuah perniagaan aktiviti menyelam di sebuah resort di Kampung Juara, Pulau Tioman.
Keluarga Adib tidak puas hati cadangan pertuduhan lebih ringan
“Mereka didapati tidak mempunyai surat kebenaran merentas sempadan negeri daripada polis mahupun surat majikan atau bekerja dalam sektor keperluan asas yang merupakan keperluan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Selangor,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Azari berkata, kompaun itu dikeluarkan mengikut Seksyen 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana keluar dari kawasan yang diisytiharkan PKPB tanpa kebenaran.
Beliau berkata, mereka juga bersetuju untuk pulang ke Lapangan Terbang Subang pagi esok kerana juruterbang persendirian itu mendakwa tidak mempunyai kebenaran menerbangkan pesawat pada waktu malam.
“Untuk malam ini, pihak Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan gelang kuarantin kepada empat individu itu selain akan dipantau oleh pasukan pemantauan sehingga mereka bertolak pulang esok,” katanya. – Bernama
Pengurus Besar FELDA Lantikan PH Sahkan Hutang Untuk Kebajikan Dan Kepentingan Peneroka – Najib