[VIDEO]:Buaya berjemur di pantai Kuala Besut

Share

“Ada jiran yang nampak macam kayu terapung sejak tiga hari lalu, tidak sangka ia sebenarnya selepas lihatnya sendiri berjemur di tepi pantai,” kata Muhammad Amir Idham Mohd Hanapi.

Dia dari Kampung Pantai, Kuala Besut dan bekerja di jeti perikanan di Kuala Besut berkata, dia hanya menyedari kejadian itu apabila jiran yang juga kawannya tinggal berhampiran rumah pulang dari kerja ternampak buaya itu bermain di tepi pantai pada 1.30 tengah hari.

“Kebetulan lokasi itu terletak di belakang rumah saya serta dua lagi rumah jiran dan kami bertiga segera mendekati objek itu untuk mengesahkan itu adalah buaya bukan biawak. “Saiz buaya itu agak besar lebih kurang dua depa dan saya individu terawal merakam buaya naik berjemur di pantai itu sebelum tersebar (tular) di media sosial,” katanya ketika dihubungi.

Amir berkata, buaya itu berjemur kira-kira lima minit sebelum turun semula ke air dan bermain di tengah laut berhampiran batu.

“Ini kali pertama saya melihat sendiri buaya naik ke pantai. “Pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) juga sudah maklum dengan kehadiran buaya itu serta membuat pemantauan berkala,” katanya.

Sementara itu, rakaman video yang dimuat naik di akaun Facebook, Amir PokSupi mendapat 147 likes serta dikongsi puluhan orang ramai.

Leave a Reply