‘Usikan’ jenama kegemaran rakyat Malaysia hadapi PKPB
PUTRAJAYA – Kerajaan baharu sahaja umumkan pelaksanaan Perintah Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang hari ini namun, beberapa jenama produk kegemaran rakyat Malaysia mula ‘mengusik’ di media sosial.
Abang MILO menerusi akaun Twitter @MiloMalaysia meminta rakyat Malaysia supaya mendapatkan Milo ketika membeli barangan keperluan rumah.
“Bawa bertenang semua, PKPB baru sahaja diumumkan untuk orang Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.
“Abang MILO harap semua akan patuhi SOP yang ditetapkan, sebaiknya kita semua duduk di rumah saja lah. Jaga diri semua!,” katanya.
Sementara itu, Domino’s Pizza Malaysia menerusi hantaran di Facebook pula memperkenalkan perkhidmatan terbaharunya di restoran cawangan mereka iaitu pandu ambil.
“You yang cute tu! Jangan risau, Domino’s ada di sini.
“Dapatkan piza kegemaran korang tanpa perlu keluar dari kereta pun dengan servis Pandu Ambil, #SemestinyaLebihMudah!,” katanya.
Domino’s turut berkongsi video memaparkan cara-cara memesan piza dan pelanggan tidak perlu turun dari kenderaan sebaliknya pesanan akan dihantar terus ke kenderaan.
Turut berkongsi hantaran di Facebook adalah kumpulan masakan, Masak Apa Tak Jadi Hari Ini Official, MATJ@HN yang memuat naik gambar sebungkus roti Gardenia beserta tanda pagar #PKPB The War Begins – KL – Selangor – Putrajaya, 14 – 27 Oct 2020.
“Habislah roti Gardenia selepas ini. Adakah lori roti Gardenia bakal di ‘hijack’ tidak lama lagi.
“Sama-sama kita saksikan episod #PKPB The War Begins,” katanya.
Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa 14 hingga 27 Oktober depan.
PKPB turut dilaksanakan di seluruh Sabah mulai tengah malam ini hingga 26 Oktober depan. – K! ONLINE
You must be logged in to post a comment.