Guan Eng nafi kenyataan didakwa fitnah hanya fokus, rujuk Abdul Azeez

GEORGETOWN: Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, beliau tidak bersetuju dengan dakwaan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bahawa kenyataan dibuatnya (Guan Eng) pada satu sidang akhbar, 28 Februari 2018, hanya merujuk kepada Ahli Parlimen Baling itu.

“Saya ingin menyatakan bahawa sebahagian besar kenyataan itu merujuk kepada pihak lain, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), UMNO serta MCA, dan hanya sebahagian kecil daripadanya merujuk kepada plaintif (Abdul Azeez),” kata Guan Eng dalam penyataan saksi dibacakan di hadapan Hakim Datuk Rosilah Yop.

“Dakwaan mereka disiarkan dalam bentuk artikel dan telah diakses oleh orang ramai pada masa yang material.

“Selain itu, SPRM telah menyiasat projek terowong bawah laut Pulau Pinang dan menyerbu beberapa agensi kerajaan di Komtar serta menyoal siasat pegawai daripada Kerajaan Pulau Pinang,” katanya.

Guan Eng juga tidak bersetuju bahawa kenyataan yang dibuat pada sidang akhbar itu memfitnah plaintif.

“Saya tidak setuju. Seperti yang disebutkan sebelum ini, sebahagian besar kenyataan itu merujuk kepada pihak lain, iaitu SPRM, UMNO, MCA dan bukan plaintif.

“Selain itu, saya percaya bahawa bahagian kenyataan yang dirujuk adalah tertakluk bawah pembelaan justifikasi, komen adil dan perlindungan bersyarat,” katanya.

Guan Eng berkata, kenyataan yang beliau keluarkan pada sidang akhbar itu juga tidak mendakwa atau menyebut bahawa Abdul Azeez terbabit dalam rasuah.

Abdul Azeez memfailkan saman itu pada Mac 2018 yang mendakwa Guan Eng mengeluarkan kenyataan fitnah pada sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri, 28 Februari 2018, dan ketika rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang pada hari sama yang mengaitkan beliau dengan pembayaran sebanyak RM3 juta sebagai yuran perundingan oleh pemaju projek terowong bawah laut.

Beliau mendakwa kenyataan itu telah mendapat liputan meluas dan diterbitkan dalam beberapa laman sesawang, laman berita elektronik serta akhbar tempatan, selain disiarkan dalam beberapa halaman akhbar dan media sosial defendan.

Plaintif mendakwa saman itu dibuat berikutan kenyataan terbabit telah menyebabkan Abdul Azeez mengalami kerosakan amat dahsyat terhadap reputasi dan nama baiknya, di samping terpaksa mengalami keaiban, kebencian amat sangat serta penghinaan daripada orang awam.

Sehubungan itu, Abdul Azeez memohon ganti rugi am termasuk ganti rugi pampasan, teladan, ganti rugi tambahan, kos tindakan dan relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah, selain turut memohon suatu perintah untuk penerbitan balik kenyataan menyinggung berhubung isu terowong dasar laut itu serta permintaan maaf awam dalam akhbar serta media elektronik tempatan.

Beliau juga memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada terus menerbitkan, membolehkan atau menyebabkan kenyataan menyinggung berkenaan diterbitkan.

Mahkamah menetapkan 11 Disember depan untuk keputusan. – BERNAMA

 

https://mykmu.net/2018/03/06/fitnah-azeez-rahim-empat-hari-untuk-guan-eng-mohon-maaf/

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker