Pesakit Covid-19 suruh jururawat pegang kemaluannya
MELAKA: Seorang jururawat di Hospital Melaka membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual oleh lelaki warga emas yang juga pesakit COVID-19.
Warga emas berusia 60 tahun itu dikatakan mengeluarkan perkataan berbaur lucah ketika jururawat berkenaan sedang melakukan prosedur rawatan terhadap pesakit berkenaan.
Menurut laporan polis yang tular di media sosial, mangsa berusia 30 tahun, sedang menguruskan pesakit itu dan mengambil darah dalam sebuah wad unit rawatan rapi (ICU) hospital, sebelum terkejut apabila pesakit tersebut mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya.
Difahamkan, lelaki itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada seorang wanita dipercayai isterinya, dan membuka pembesar suara ketika berkomunikasi.
Berdasarkan perbualan itu, pemanggil berkenaan bertanyakan apa yang sedang dilakukan, sebelum pesakit itu selamba berkata bahawa dia sedang ‘melakukan aksi intim’ dengan jururawat bertugas.
Lelaki itu malah sedia membuat panggilan video untuk membuat pemanggil telefon itu percaya pada kata-katanya.
Jururawat itu kemudian panik dengan kelakuan warga emas itu memandangkan hanya dia seorang berada di dalam bilik berkenaan.
Tidak terhenti di situ, sejurus menamatkan panggilan, pesakit COVID-19 itu kemudian meminta untuk melihat saiz ‘kondom kateter urin’ yang merupakan salah satu alat rawatan yang digunakan, seterusnya menyuruh jururawat itu memegang kemaluannya bagi memakaikan set peralatan tersebut.
Jururawat itu yang takut selepas mendengar kata-kata lucah warga emas berkenaan bagaimanapun enggan melakukannya dan meminta pesakit memasukkannya sendiri sebelum segera beredar serta membuat laporan polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan siasatan lanjut sedang dilakukan.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Datuk Dr Ismail Ali dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sedia maklum mengenai laporan polis yang dibuat jururawat tersebut.
Katanya, siasatan dalaman jabatan sedang dilaksanakan secara komprehensif dan pihak JKN akan berkerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. Awani
‘Ustaz’ Dihukum Penjara Sembilan Tahun & Dua Sebatan Kerana Pegang Kemaluan Budak 10 Tahun