Cuci duit haram, ‘Datuk Seri’ panjat pagar cabut lari dari polis
Polis kini memburu lelaki bergelar Datuk Seri yang juga suspek utama sindiket pengubahan wang haram selepas dia melarikan diri sebaik dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), kelmarin.
Menurut sumber, sepatutnya lelaki terbabit turut ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes pusat panggilan membabitkan kegiatan judi dalam talian.
“Bagaimanapun, suspek difahamkan bertindak memanjat pagar di belakang bangunan SPRM sebelum melarikan diri.
“Polis yang ketika itu berada di hadapan bangunan SPRM hanya sempat menahan seorang lagi suspek yang juga dalang utama sindiket itu bersama dua anggota polis bagi membantu siasatan kes terbabit,” katanya.
Sumber berkata, sehubungan itu, polis kini giat mengesan suspek yang menghilangkan diri selepas dibebaskan.
Dalam perkembangan sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, polis akan menahan semula tiga individu selepas mahkamah menolak perintah reman terhadap mereka semalam yang ditahan berhubung kes pusat panggilan membabitkan kegiatan judi dalam talian.
Katanya, seorang lelaki dan dua anggota polis ditahan kelmarin selepas dibebaskan SPRM yang sebelum ini direman bagi membantu siasatan berkaitan kes pengubahan wang haram.
Nik Ros Azhan berkata, bagaimanapun mahkamah menolak permohonan untuk mendapatkan reman itu namun mereka kini ditahan semula membabitkan satu lagi laporan berkaitan perjudian di Cheras.
“Kita akan tahan mereka semula bagi membantu siasatan berkaitan perjudian di daerah Cheras yang berkaitan dengan tiga individu ini.
“Permohonan reman baharu akan dipohon supaya siasatan dapat dijalankan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Harian Metro sebelum ini melaporkan polis memberkas tiga individu yang sebelum ini ditahan oleh SPRM berhubung kes pusat panggilan membabitkan kegiatan judi dalam talian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata ketiga-tiga individu itu akan direman bagi membantu siasatan. HM
Pengakuan berani mati seorang scammer, bos aku Addy Kana tak lama di dalam