Rasuah lebih rancak jika pihak atasan terbabit
PEGAWAI dan anggota berkhidmat dengan agensi penguatkuasaan antara paling berisiko terdedah amalan rasuah dan salah guna kuasa. Saban tahun, bukan sedikit ditahan dan didakwa atas kesalahan itu yang mencalar integriti peribadi dan pasukan, selain merosakkan sistem perundangan negara.
Wartawan BH, Safeek Affendy Razali dan Nor Azizah Mokhtar, menemubual bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor dan Pensyarah Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (Bidang Pengkajian Sistem Keadilan Jenayah) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nazirah Hassan, untuk menyelami pandangan masing-masing mengenai isu ini.
DR NAZIRAH HASSAN
S: Apa sebenarnya mendorong penguat kuasa terbabit salah guna kuasa dan rasuah?
J: Timbulnya perbuatan bermula daripada tekanan kewangan berikutan kos sara hidup tinggi dan beban hutang, terutama dalam kalangan mereka yang bertugas di bandar besar. Selepas beberapa kali menerima suapan, mereka mula mengamalkan gaya hidup mewah serta tabiat gemar melakukan aktiviti yang mendorong kepada pembaziran. Contohnya seperti berjudi atau berhibur. Selepas itu, wujud pula tekanan baharu iaitu mengekalkan kehidupan mewah dan ini secara tidak langsung meningkatkan pula pemikiran materialistik.
Pemikiran materialistik ini wujud akibat tekanan daripada orang sekeliling. Contohnya, seperti keluarga dan rakan, malah liputan media serta perasaan bimbang dihimpit tekanan kewangan seperti takut hidup susah dan dibebani hutang. Secara ringkas, pemilihan gaya hidup mewah ini dipengaruhi oleh keperluan dan untuk kepuasan diri sendiri.
Kajian membuktikan gaya hidup mewah dan hiburan meningkatkan kepuasan dalam kehidupan, mengurangkan risiko tekanan dan menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan mental. Namun, amalan ini turut dipengaruhi oleh keluarga dan rakan.
Peningkatan dalam perbelanjaan untuk menampung keluarga dan perasaan malu kelihatan susah, turut mendorong mereka untuk terus menerima rasuah. Wang suapan seolah-olah menjadi sumber pendapatan bagi individu yang terbabit dengan perbuatan itu.
S: Isu gaji tidak cukup sering dijadikan alasan. Sejauh mana ia benar?
J: Isu ini berkait rapat dengan tekanan kewangan dan kos sara hidup yang tinggi, justeru mendorong individu untuk mengambil dan mencari peluang menerima rasuah. Rasuah adalah salah satu cara mudah untuk mendapatkan wang. Selain menerima rasuah atau suapan, segelintir anggota yang tidak bertanggungjawab juga bertindak mendesak pihak tertentu untuk memberikan suapan kepada mereka. Sebagai contoh, mendesak individu untuk memberikan suapan bagi menghapuskan atau menyembunyikan kesalahan yang dilakukan.
S: Asas agama tidak kukuh menjadi punca perbuatan rasuah. Apa komen Dr?
J: Benar agama dijadikan panduan pembentukan sahsiah positif dalam kehidupan sesetengah individu dan pegangan agama yang kuat dapat menghalang individu daripada terjebak dengan perkara tidak bermoral. Agama sendiri adalah panduan keperibadian mulia, tetapi kelemahan pengetahuan serta pegangan agama tidak boleh dijadikan faktor yang mendorong individu untuk terbabit dengan perbuatan yang tidak bermoral.
Kebanyakan kajian membuktikan bahawa keterlibatan individu dalam rasuah disebabkan oleh tekanan kehidupan, termasuk tekanan kewangan, kerja dan kelemahan kawalan dalam agensi. Tekanan sedemikian menjadi desakan kuat individu untuk mengambil rasuah dan sebagainya.
Apa yang menjadi masalah, isu sebegini seolah-olah sudah menjadi budaya dalam kalangan mereka dan ramai antaranya ‘menghalalkan’ perkara itu, termasuk mereka yang tidak mengamalkan perbuatan sedemikian.
Perlakuan itu dipengaruhi sekurang-kurangnya tiga faktor ini. Pertama disebabkan pembabitan pihak atasan dalam kegiatan berkenaan. Kedua, perbuatan itu tidak akan menggugat kedudukan serta kuasa atau merugikan mana-mana pihak dan menjadi kerugian sekiranya tidak mengambil peluang itu (contoh: rasuah). Ketiga pula apabila perbuatan itu memberikan keuntungan atau ganjaran positif kepada mereka, justeru semua faktor itu menyumbang kepada perbuatan rasuah dan akhirnya ia berlanjutan sehingga sukar dibanteras.
S: Dr ada sebut mengenai pembabitan pegawai atasan. Bagaimana ia mempengaruhi?
J: Pembabitan pihak atasan atau mereka yang lebih berkuasa sememangnya merancakkan lagi kegiatan rasuah. Situasi ini memberi desakan atau dorongan kepada anggota bawahan turut berkompromi (sama ada bersetuju atau tidak) untuk terbuka menerima budaya rasuah dalam jabatan. Ada segelintir merasa terancam dengan situasi ini; mereka takut sekiranya kedudukan di jabatan diancam dan memberi kesan kepada privileges (keistimewaan) yang diperoleh seperti bimbang ditukarkan jabatan atau negeri dan tidak dinaikkan pangkat.
Selain itu, mungkin ada segelintir anggota yang mudah terpengaruh untuk terjebak dengan kegiatan rasuah dan keadaan itu boleh disebabkan sekurang-kurang empat perkara.
Empat perkara itu meliputi kurang pengetahuan mengenai rasuah terutama dalam kalangan pegawai atau anggota baharu, kesediaan untuk menerima suapan apabila ditawarkan dengan jumlah wang yang banyak, ancaman keselamatan dan desakan daripada sindiket, serta akhir sekali desakan daripada pegawai atasan.
Pemantauan dan kawalan dalaman yang lemah di sesebuah agensi penguatkuasaan itu sendiri menyebabkan segelintir anggota mudah terpedaya dan terjebak dengan kegiatan rasuah.
S: Benarkah kegiatan rasuah ada kaitan tekanan politik?
J: Tidak dapat dinafikan, kegiatan rasuah terbesar di mana-mana negara sekalipun dipercayai ada membabitkan ahli politik. Segelintir anggota penguat kuasa terpaksa akur atau ‘menutup mata’ dengan desakan sekiranya ia membabitkan kes tertentu yang ada kepentingan untuk mereka. Jelas sekali ini mencemar integriti dan salah guna kuasa bukan sahaja oleh anggota penguat kuasa, tetapi juga dalam kalangan ahli politik.
Dalam hal ini, perkara pertama yang perlu diubah adalah amalan (rasuah) oleh ahli politik, selepas itu baru beralih kepada penguatkuasaan. Penguatkuasaan adalah kumpulan pelaksana yang menerima arahan daripada ahli politik, termasuklah barisan kepemimpinan dan pembuat dasar.
S: Setiap kali berbicara soal rasuah, fokus terarah kepada polis. Bagaimana pula agensi lain?
J: Rasuah dan salah guna kuasa umpama sudah menjadi budaya bukan sahaja berlaku dalam agensi penguatkuasaan undang-undang, malah juga pada peringkat kementerian, badan berkanun, universiti, badan bukan kerajaan, yayasan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Namun, dalam isu pembanterasan kegiatan jenayah seperti sindiket penipuan Macau Scam dan judi dalam talian yang dikaitkan dengan aktiviti pengubahan wang haram, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat lebih berisiko terdedah dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa.
Risiko itu adalah tinggi sejajar dengan peningkatan aktiviti haram yang berlaku di sesebuah negara. Kegiatan itu menjana keuntungan haram mencecah ratusan juta ringgit, semestinya banyak pihak yang akan terbabit bukan sahaja dalam kalangan anggota PDRM, malah ahli perniagaan, ahli politik, syarikat perbankan dan syarikat lain. Pembabitan warga PDRM yang tidak bertanggungjawab dan tiada integriti ini akan memudahkan lagi operasi aktiviti haram mereka walaupun ia dilakukan secara terang-terangan.
S: Apa komen Dr mengenai pembongkaran kes Macau Scam terbaru?
J: Amalan rasuah dan penyelewengan dalam kalangan anggota penguat kuasa adalah serius dan tidak boleh dikawal, berikutan siasatan dan tangkap dibuat sering membabitkan mereka. Masyarakat turut memberi persepsi kurang menyenangkan apabila menganggap rasuah sinonim dengan penguatkuasaan, terutamanya PDRM. Keterlibatan penguat kuasa dalam kegiatan sindiket Macau Scam seperti judi haram dan aktiviti pengubahan wang haram sangat mencemarkan reputasi pasukan sebagai badan penguat kuasa.
Kegiatan sindiket yang menipu atau menggelapkan jutaan ringgit individu yang tidak bersalah, apatah lagi dibantu oleh pihak berkuasa adalah satu kesalahan jenayah serius dan kita tidak boleh bertolak ansur. Kegiatan ini berlanjutan dan sukar dibanteras dalam agensi penguatkuasaan disebabkan beberapa perkara. Antaranya kawalan dalaman agensi yang lemah, ruang dan peluang berlaku rasuah, tiada pemantauan rapi, amalan yang terlalu mengikut budi bicara dan masuk campur ahli politik atau individu berpengaruh
Beberapa strategi boleh dirancang untuk menangani rasuah dalam agensi penguatkuasaan antaranya yang paling utama adalah pendidikan berterusan kepada orang awam dan anggota penguat kuasa untuk melaporkan kegiatan itu melalui saluran yang betul termasuk kempen berterusan melalui media sosial.
Selain itu, perlu diwujudkan kumpulan khas dalam agensi penguatkuasaan (di setiap cawangan) untuk memantau pelaksanaan tugas pegawai dan anggota yang memfokus kepada antirasuah dan salah guna kuasa. Ini termasuk mewujudkan modul antirasuah dan salah guna kuasa untuk diguna pakai semasa latihan asas pengambilan anggota dan.
Strategi yang juga dilihat amat penting adalah merancang strategi untuk mengawal campur tangan ahli politik dalam urusan penguatkuasaan undang-undang.
RAHIM NOOR
‘Berani buat, berani tanggung’
S: Kes tangkapan SPRM terhadap anggota dan pegawai polis. Bagaimanakah Tan Sri melihat isu ini?
J: Tindakan yang dilakukan oleh SPRM ini adalah dalam konteks melaksanakan tugas penguatkuasaan mereka mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, iaitu menumpaskan dan membanteras korupsi (rasuah) dan penyalahgunaan kuasa. Ia sama seperti yang dilaksanakan pegawai dan anggota polis yang mana ketika mengambil tindakan tidak memilih bulu atau kedudukan terhadap orang yang ditangkap mereka bagi menjalankan sesuatu siasatan.
S: Tangkapan pegawai kanan polis menimbulkan isu dan persepsi negatif masyarakat terhadap PDRM?
J: Sesiapa pun yang melanggar undang-undang harus diambil tindakan. Begitulah juga dengan SPRM, mesti ada sebab yang wajar kenapa tindakan begitu dilakukan terhadap pegawai dan anggota polis. Jadi, masyarakat seharusnya menunggu sehingga sesuatu siasatan itu selesai sebelum membuat satu penilaian yang benar-benar sahih.
Semua memang tahu penyalahgunaan kuasa atau menerima rasuah itu tidak boleh, tetapi apabila ada tangkapan membabitkan pegawai dan anggota PDRM ia mengaibkan dan memalukan. Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, boleh mengeluarkan satu arahan lagi untuk membanteras aktiviti rasuah dan sudah memang sedia ada dan sememangnya semua sudah tahu kesan dan akibat perbuatan itu.
Bagi saya, siapa yang berani buat, beranilah tanggung, jadi kena hadapilah segala tindakan yang dilakukan oleh SPRM.
S: Bagaimanakah hendak hentikan elemen melindungi kartel atau sindiket jenayah dalam polis?
J: Saya fikir semua warga PDRM daripada peringkat bawahan sehingga ke peringkat atasan tahu kesan dan akibat sekiranya mereka terbabit dengan penyalahgunaan kuasa atau berkelakuan secara yang boleh dianggap rasuah.
Semua pegawai dan anggota tahu apa yang bakal terjadi kepada mereka dan sekiranya perkara ini masih berterusan, saya mencadangkan Abdul Hamid kena membuat suatu arahan baharu, memperkenalkan sesuatu langkah atau tindakan yang sebelum ini tidak pernah dikeluarkan oleh mana-mana Ketua Polis Negara.
S: Tan Sri rasa apakah pucuk pimpinan tahu hubungan anggota dan pegawai dengan sindiket dilindungi?
J: Saya tidak tahu sejauh mana hubungan dalam kalangan ‘orang-orang tertentu’ (dalang) dalam PDRM ini dengan sindiket. Saya juga tidak tahu sejauh mana hubungan mereka dengan sindiket, namun saya yakin PDRM tahu tindak tanduk setiap pegawai dan anggotanya yang terbabit dengan sindiket. Jadi (pucuk pimpinan) harus lakukan sesuatu dengan segera, takkan nak peluk tubuh sahaja.
S: Bagaimana Tan Sri melihat tindakan Ketua Polis Negara dalam menangani perkara ini?
J: Tepat dan wajar. Saya melihat beliau ada menyatakan tiada belas kasihan terhadap mereka yang berkompromi dengan kartel atau sindiket tertentu dan akan mengambil tindakan mengikut SOP (prosedur operasi standard) PDRM.
Malah, beliau (Abdul Hamid) turut mengalu-alukan siasatan telus oleh SPRM terhadap mereka yang merosakkan imej PDRM. Saya juga yakin beliau akan melakukan sesuatu tindakan yang lebih tegas selepas ini.- BH
You must be logged in to post a comment.