M Daud Kilau terima bantuan JKM
Bagan Datuk: “Alhamdulillah, saya bersyukur dengan bantuan diterima ini. Saya ucapkan ribuan terima kasih, hanya Allah SWT yang mampu membalas jasa baik ini,” kata Raja Gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau, 82.
M Daud Kilau atau Muhammad Daud Kilau yang berdepan masalah kesihatan sejak empat tahun lalu menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bermula bulan hadapan.
M Daud Kilau berkata, bantuan itu dapat meringankan bebannya yang kini bergantung dengan ubat dan perlu membuat pemeriksaan kesihatan di Klinik Kesihatan Bagan Datuk dan Hospital Teluk Intan (HTI).
“Bukan sahaja bantuan daripada kerajaan negeri dan pihak berkaitan, malah saya juga menerima bantuan daripada rakan serta persatuan artis. Terima kasih untuk semua, jasa kalian hanya Allah SWT yang dapat membalasnya,” katanya.
Beliau ditemui pada Ziarah Kebajikan Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin di rumahnya di Kampung Sungai Balai Baruh, Bagan Datuk hari ini.
Turut hadir Pengarah JKM Perak Nor Tipah Majin.
Penyanyi veteran itu menghidap kencing manis dan kini sudah tidak boleh berdiri lama, kebas kaki dan tangan serta pinggang.
Keadaan jantungnya juga tidak stabil serta kurang daya pendengaran.
Menurutnya, sebagai anak seni yang sudah hampir 50 tahun menyanyi, tiada istilah bersara dalam bidang itu kerana baginya dia dilahirkan sebagai penghibur dan semua ketentuan adalah perancangan Allah SWT.
“Cuma kalau ditakdirkan rezeki untuk menyanyi hanya setakat ini sahaja saya terima, bersyukur dan cukup berpuas hati kerana sudah banyak kenangan dan dapat membuat persembahan di seluruh negara termasuk luar negara,” katanya.
Sementara itu, Wan Norashikin berkata, M Daud Kilau menerima bantuan bulanan RM350 daripada JKM di bawah skim Bantuan Orang Tua (BOT).
Katanya, bantuan kewangan ‘one-off’ Tabung Bantuan Segera (TBS) bersama barangan keperluan turut diberi.
“Kehadiran sahabat dan pemimpin yang datang memberi sokongan dan bertanya khabar memberi suntikan semangat serta keceriaan kepada beliau.
“Kita prihatin dengan keadaan Datuk M Daud Kilau dan berharap, bantuan ini dapat meringankan bebannya. JKM juga akan sentiasa memantau keadaan beliau,” katanya- HM