Polis siasat kain rentang berunsur provokasi
IPOH – Polis membuka kertas inkuiri bagi menyiasat penggantungan dua kain rentang yang mempunyai unsur provokasi di dua lokasi berbeza sekitar bandar ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abd Aziz berkata, siasatan dijalankan selepas menerima dua laporan berikutan gambar dua kain rentang tersebut tular di laman sosial Facebook sejak semalam.
“Siasatan awal mendapati kain rentang yang digantung di Medan Selera Stadium bertulis ‘rakyat jaga rakyat, menteri jaga poket’ dan di jejantas pejalan kaki Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) tertulis kata-kata kesat.
“Anggota Balai Polis Sungai Senam telah pergi ke tempat kejadian dan dapati kain rentang tersebut telah tiada. Pencarian dilakukan dan hanya menjumpai satu kain rentang dalam sebuah tong sampah di belakang hentian bas Jalan Raja Ashman di sini,” katanya.
Menurutnya, kain rentang tersebut dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di kawasan sekitar.
“Tiada saksi bebas yang tampil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan. Bagaimanapun, kertas inkuiri polis dibuka untuk siasatan lanjut,” katanya- SH
You must be logged in to post a comment.