‘Mimpi indah terbuka hati peluk Islam’

 

Gua Musang: “Mimpi indah memeluk Islam menjadi kenyataan kepada saya,” kata saudara baharu, K Logentheran, 40, yang melafaz dua kalimah syahadah, hari ini.

Dia yang dalam keadaan tenang melafaz syahadah memeluk Islam di hadapan Imam Tua Masjid Tengku Muhammad Fa-iz Petra, Saufi Othman.

Logentheran yang nama Islamnya, Muhammad berkata, dia sudah beberapa kali bermimpi memeluk Islam, tetapi hajatnya memeluk Islam tertangguh.

Katanya, kini baru terbuka hati untuk berbuat demikian dan segera menemui imam di masjid itu untuk melafaz dua kalimah syahadah.

“Dalam keluarga saya, sudah ada saudara memeluk Islam sejak beberapa tahun lalu dan dia ada memberitahu mengenai Islam.

“Saya melihat dia dalam keadaan tenang setiap masa mungkin kerana mengerjakan solat dan mengaji al-Quran,” katanya.

Muhammad yang berasal dari Perak, sudah lama tinggal di Kampung Kundur, Gua Musang dan bekerja sendiri.

Katanya, dia sudah berumah tangga dan mempunyai seorang anak, tetapi sudah berpisah lebih setahun lalu sebelum dia mengambil keputusan memeluk Islam.

“Selepas mengucap syahadah, hati terasa sejuk dan fikiran tenang. Selepas ini, saya akan belajar solat dan mengaji al-Quran,” katanya.

Sementara itu, Saufi berkata, dia sedia mengajar saudara baru itu mendalami agama Islam termasuk solat dan mengaji al-Quran.

“Di masjid ini diadakan kelas belajar Islam seminggu sekali pada pagi Jumaat.

“Kami menerima 50 saudara baru termasuk pelajar Orang Asli yang memeluk Islam dan mendalami agama ini setiap minggu,” katanya.-HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker