Kebocoran bahan kimia di kilang, enam mangsa dikejarkan ke hospital
Enam individu dikejarkan ke Hospital Teluk Intan susulan kebocoran bahan kimia di sebuah kilang membuat bebola ikan di Jalan Tepi Sungai, dekat sini pada Sabtu.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mangsa terdiri daripada tiga orang warga asing dan tiga lagi warga tempatan.
Katanya, pihak bomba menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 7.39 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang bergegas ke lokasi.
“Berlaku kebocoran bahan kimia ammonia (UN 1005) di kilang QL Food Frozen yang membuat bebola ikan.
“Enam orang mangsa telah dibawa ke Hospital Teluk Intan yang terdiri daripada seorang lelaki dan dua perempuan warga asing, manakala tiga lagi perempuan warga tempatan.
“Kebocoran berlaku kepada satu saluran manakala tiga lagi saluran tidak mengalami kebocoran,”katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ujarnya, anggota seterusnya memakai Peralatan Perlindungan Diri (PPE) bagi membuat pemantauan di dalam kilang tersebut.
Ia untuk memastikan ‘valve’ telah ditutup dengan kemas oleh pekerja kilang dan tiada lagi kebocoran gas ammonia.
Jelasnya anggota bomba turut membuat pengudaraan di dalam kilang tersebut bagi melepaskan gas ammonia yang masih ada.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.28 malam. Awani
Siasat Dakwaan 3 Kilang Kimia Milik Suami Bee Yin – DMJ
You must be logged in to post a comment.