12 ahli Gang 21 ditahan bantu siasatan kes tembak di Banting

Share

Seramai 12 lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 36 tahun ditahan di sekitar Kuala Langat bagi membantu siasatan kes tembak yang menyebabkan seorang ahli perniagaan dan pegawai peribadinya serta tiga pelajar sekolah cedera.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Azizan Tukiman berkata, kesemua individu berkenaan ditahan di kawasan Banting, Sungai Emas, Sungai Jarom dan Teluk Panglima Garang dalam satu operasi dijalankan oleh pasukan petugas khas antara pukul 6 petang semalam sehingga pukul 5 pagi tadi.

“Kami percaya mereka adalah ahli kongsi gelap daripada Gang 21, kami sedang mengesan saki-baki kumpulan haram ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Azizan berkata, 12 lelaki berkenaan direman sehingga 29 Sept bagi membantu siasatan kes tembak itu.

Bernama difahamkan motif kejadian adalah berpunca daripada masalah membabitkan perniagaan yang diusahakan oleh keluarga mangsa dengan individu bertanggungjawab mengarahkan tembakan itu.

Seorang ahli perniagaan dan pengawal peribadinya cedera di dada dan beberapa bahagian badan akibat ditembak dua suspek menaiki sebuah motosikal dalam kejadian di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.45 tengah hari itu, tiga pelajar sekolah menengah turut cedera akibat dirempuh kereta jenis BMW yang dinaiki kedua-dua mangsa. MG

Kesan tembakan di badan mangsa kemalangan yang turut mencederakan pelajar sekolah

Leave a Reply