Saya akan tarik balik sokongan terhadap Muhyiddin, kata Nazri
Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz akan menarik balik sokongannya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang memiliki majoriti tipis di Parlimen, tetapi jika hanya ia membawa kepada pilihan raya mengejut.
Timbul persoalan mengenai nasib kerajaan dipimpin Perikatan Nasional (PN) selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim mengumumkan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.
Ditambah pula pengakuan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, ada dalam kalangan ahli Parlimennya dan Barisan Nasional menyokong Anwar dan parti itu tidak akan menghalang mereka berbuat demikian.
“Saya menyokong pendirian Zahid untuk tidak menghalang mana-mana ahli Parlimen Umno menyokong Anwar. Kerajaan hari ini adalah kerajaan MP (ahli Parlimen),” katanya kepada FMT.
Nazri turut mengulangi kenyataan Zahid sebelum ini, Umno tidak mahu menjadi sebahagian daripada PN dan hanya mahu bekerjasama dengan PAS.
“Zahid betul kerana ramai dalam Umno tidak senang dengan Muhyiddin dan PPBM mengenai cara Umno dilayan,” katanya.
Nazri menuduh PPBM melihat Umno tidak relevan, dengan memberi contoh parti itu menamakan Ketua PPBM Sabah, Hajiji Noor sebagai calon ketua menteri tanpa terlebih dahulu berunding dengan Zahid.
“Mereka senang-senang saja mengumumkan Hajiji calon tanpa berunding dengan kami. Mereka kata kami tak relevan, kami tak dominan. Okay, kita lihat apakah itu berlaku dalam pilihan raya.
“Jika menarik balik sokongan saya terhadap Muhyiddin bermakna pilihan raya akan diadakan, maka saya akan melakukannya,” kata veteran Umno itu.
Beliau turut meminta supaya perubahan kerajaan dilakukan melalui proses sewajarnya di Dewan Rakyat dan bukan menghadap Yang di-Pertuan Agong. Fmt
You must be logged in to post a comment.