MB Kedah nafi dakwaan Presiden PEKA kerajaannya lulus pembalakan

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor tampil menafikan dakwaan yang tular di media sosial berhubung aktiviti pembalakan yang berlaku di negeri itu.

Melalui satu kenyataan dikeluarkan pejabatnya, beliau menjelaskan dakwaan itu satu lagi usaha untuk memberi tanggapan buruk terhadap kepimpinannya.

Kenyataan itu mengulas dakwaan tersebut dibuat pada satu hantaran yang ditularkan akaun Facebook Sabrina Syed, milik Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Shariffa Sabrina Syed Akil.

“Dua imej satelit hutan berhampiran Empangan Ahning tersebar melalui pelbagai platfrorm internet, seolah-olah kerajaan negeri hari ini yang membenarkan pembalakan di kawasan berkenaan pada Julai dan Ogos lalu.

“Apa yang sebenarnya, kerajaan Kedah pimpinan menteri besar Muhammad Sanusi yang mengambil alih kepimpinan bermula 17 Mei 2020 tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen pembalakan,” jelas kenyataan itu.

Terdahulu, hantaran berkait dakwaan itu didedahkan Sabrina melalui akaun Facebooknya.


“Dalam sekelip mata kemusnahan hutan bersebelahan dengan Tasik Ahning, Kedah.

Dari Julai hingga Ogos 2020. 75 hektar,” tulisnya dan disertai imej satelit yang memperlihatkan keadaan sebelum dan selepas pembalakan.

Semakan Malaysiakini mendapati hantarannya itu dikongsi oleh hampir 300 pengguna Facebook.

Sementara itu, pejabat menteri besar Kedah berkata mengikut rekod Jabatan Perhutanan lesen pembalakan di kawasan berhampiran Empangan Ahning itu dikeluarkan pada 2019 bagi tempoh berkuat kuasa antara 25 Februari hingga 25 Ogos 2020.

Ia merupakan lesan yang disambung semula oleh Jabatan Perhutanan disebabkan kerja mengeluarkan hasil yang belum selesai.

“Jabatan Perhutanan mengeluarkan lesen membalak untuk dikeluarkan semua hasil sebelum tanah itu diluluskan hak milik lepada syarikat Tradewinds.

“Keputusan untuk memberikan hak milik tanah kepada syarikat berkenaan dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa tanah dan hasil bumi pada 1 Ogos 2017,” kata kenyataan itu. Mk

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker