Malaysia beransur-ansur keluar dari keluk kejatuhan – Tengku Zafrul

Walaupun seluruh dunia masih menghadapi cabaran akibat Covid-19, keyakinan terhadap pasaran Malaysia tetap teguh terutama daripada pelabur asing berdasarkan pelaburan dalam bon sebanyak RM23.1 bilion sehingga Ogos lalu.

Malah, ringgit turut muncul sebagai salah satu mata wang paling kukuh di Asia Tenggara dipacu oleh inisiatif secara berterusan kerajaan dalam menangani Covid-19.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, keyakinan pelabur juga dapat dilihat melalui pelancaran Bandar Malaysia dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM140 bilion baru-baru ini, berpotensi membuahkan kesan pengganda kepada pelbagai sektor ekonomi negara, serta menarik bakat dari dalam dan luar negara.

Inisiatif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang mensasarkan ekonomi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) meningkat sebanyak RM300 bilion menerusi inisiatif digariskan dalam Pelan Pembangunan Strategik (SDP) NCER 2021-2025 yang baharu dilancarkan.

“Saya yakin langkah proaktif awal melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dengan menyalurkan bantuan kepada semua golongan rakyat dan perniagaan telah membantu Malaysia untuk keluar dari kemerosotan disebabkan Covid-19.

”Jika dilihat pada penanda ekonomi negara, kita sudah meningkat secara beransur dan keluar dari keluk kejatuhan,” katanya dalam Laporan Laksana ke-22 hari ini.

Jelas beliau, usaha pemulihan ekonomi yang terjejas akibat penularan Covid-19 akan dipertingkatkan melalui siri engagement Belanjawan 2021 yang telah dan sedang giat dijalankan oleh Kementerian Kewangan bagi mendapatkan maklum balas dan input daripada segenap lapisan rakyat.
Maklumbalas berkenaan seterusnya akan digunakan bagi merangka Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen pada awal November ini. MG

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker