Kerjasama bukan bermaksud tarik diri, kata Pairin Kitingan
Penasihat PBS, Joseph Pairin Kitingan, menegaskan tiada kemungkinan partinya akan menarik diri walaupun ia bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah, susulan kenyataan Perikatan Nasional bahawa parti komponen GRS sepakat untuk tidak bersaing sesama mereka.
“Sudah jadi calon dan pegang simbol PBS. Kalau mahu tarik diri patut sebelum penamaan calon,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis bersama rakyat di Kiulu hari ini.
Kitingan berkata PBS sedia bekerjasama dengan GRS untuk menumbangkan Warisan Plus, tetapi bukan bermakna ia akan menarik diri daripada mana-mana kerusi yang akan ditandingi.
Beliau menjelaskan kerjasama itu lebih kepada strategi pilihan raya.
“Contoh kalau A menang, ia adalah hasil bantuan B dan kalau B menang ia hasil bantuan A,” katanya.
Ditanya tentang kenyataan Hamzah Zainuddin, yang mengumumkan parti komponen GRS mencapai kata sepakat berhubung pelanggaran kerusi, Kitingan berkata beliau belum dimaklumkan berhubung perkara itu.
“Di mana kita mahu bekerjasama dengan kawan kita, kita akan bekerjasama, ini strategi tapi saya tidaklah mahu memberitahu anda (media) kerana ini satu strategi,” katanya.
Kitingan turut mempersoalkan tindakan bekas Adun Kemabong di Tenom, Jamawi Jaafar, yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di Melalap.
“Kita semua sedia maklum, kerusi Melalap ditandingi PBS sejak sekian lama dan walaupun kita tewas pada pilihan raya dulu tetapi secara tradisi kerusi itu sepatutnya ditandingi PBS.
“Macam mana pula Jamawi yang sebelum ini di Kemabong pergi tanding pula di kawasan jiran iaitu Melalap? Ini yang kita persoalkan, ianya sesuatu yang ‘tidak manis’,” katanya.
Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah
Pada hari penamaan calon lalu, PBS membuat kejutan dengan meletakkan calon di 7 kerusi disamping 15 DUN yang diumumkan sebelum ini, menyebabkan pertembungan dengan parti komponen PN dan BN.
PBS akan bertembung Umno di Bengkoka, Tanjung Aru dan Telupid; PBRS di Matunggong, Tandek dan Kadamaian; MCA Sabah di Kapayan dan Karamunting; STAR dan BN di Paginatan dan Tulid; STAR di Lumadan, Tambunan, Bingkor, Moyog, dan Liawan. FMT