214 pengusaha bas, van sekolah Kelantan sudah gulung tikar

KOTA BHARU – Sebanyak 214 pengusaha bas dan van sekolah di negeri ini sudah gulung tikar apabila pengangkutan mereka itu tidak dapat beroperasi selepas sekolah ditutup berikutan penularan wabak Covid-19.

Keadaan itu menyebabkan ada segelintir pengusaha bas dan van yang sudah menjual kenderaan mereka demi kelangsungan hidup keluarga selain tidak mampu membayar ansuran bulanan kepada pihak bank.

Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Kelantan, Wan Mohd. Nuhairi Wan Hamat,42, berkata, ada juga ahli yang bernaung di bawah persatuan itu terpaksa menjual van sekolah kepada pembeli besi buruk pada harga RM5,000 hingga RM7,000 untuk sebuah van demi menyara kehidupan keluarga mereka kerana tiada pendapatan lain.



“Saya sendiri cuba bekerja dengan sebuah syarikat penghantaran untuk mencari rezeki, namun hanya mampu bertahan selama dua minggu sahaja.

“Saya juga merayu kepada pihak bank untuk memberi perhatian berkaitan masalah ini kerana ramai pengusaha bas dan van sekolah masih mempunyai tunggakan bayaran ansuran bulanan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir ke Program Sumbangan Musaadah Pemandu Bas dan Van Sekolah di Kawasan Depo Asiajaya Travel Sdn.Bhd, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Dalam program itu, seramai 214 pengusaha bas dan van sekolah menerima bakul makanan yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood.



Bakul makanan yang bernilai RM50 itu disumbangkan oleh pihak Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) Kelantan secara pandu lalu yang turut dihadiri pengarahnya, Mahadi Awang.

Mengulas lanjut, menurut Wan Mohd. Nuhairi, persatuan sudah sedia maklum dengan keluhan ahli yang tertekan ekoran keadaan itu, namun pihaknya tidak dapat membantu kerana tiada peruntukan untuk menyalurkan bantuan.

“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu, pemandu bas sekolah boleh mendapat sekurang-kurangnya 20 orang penumpang, namun kami tiada pelanggan sejak Mac tahun lalu.

“Saya difahamkan, kerajaan di sebuah negeri lain ada memberi bantuan one off sebanyak RM600 kepada pengusaha bas dan van sekolah bagi meringankan beban golongan ini yang cukup terkesan. Jadi, saya berharap kerajaan Kelantan juga dapat membantu kami,” katanya.



Semakin ramai pemandu teksi, van sekolah tiada pendapatan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker