Dharshini cemerlang ujian Tassawur Islam
Kuala Lumpur: Biarpun bukan beragama Islam, seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Danau Kota, Setapak mengambil Tassawur Islam sebagai subjek elektif untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Januari depan.
Menariknya, M Dharshini yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu konsisten mendapat keputusan cemerlang iaitu gred A+ dan A- setiap kali menduduki ujian bagi subjek berkenaan.
Menurutnya, dia mengambil subjek berkenaan sejak tahun lalu dan menjadi satu-satunya calon bukan Muslim di sekolahnya bakal menduduki Tasawwur Islam untuk SPM 2020.
“Saya bercadang menyambung pengajian dalam bidang perubatan dan kebetulan, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang paling hampir dengan rumah.
“Memandangkan saya bercadang memohon menyambung pengajian di situ, saya pilih Tasawwur Islam sebagai subjek elektif dengan harapan memenuhi syarat kelayakan ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurutnya, tiada kelas diadakan untuk pelajar yang mengambil Tasawwur Islam sebagai subjek elektif kerana pertembungan jadual harian.
“Saya tiada pilihan kecuali belajar sendiri dengan merujuk pada modul diberi pihak sekolah.
“Kebiasaannya, saya akan memberi lebih tumpuan untuk menelaah modul itu sehari sebelum ujian atau peperiksaan akhir tahun.
“Pada awalnya, agak sukar untuk memahami, mengingati dan membezakan misalnya antara nabi dan rasul tetapi kini saya sudah mengerti.
“Biarpun tiada guru untuk bertanya, modul diberi sebagai panduan itu sudah lengkap jadi tiada masalah untuk saya menelaah walaupun pada saat akhir. Setakat ini, saya dapat mengekalkan gred A dalam setiap ujian dan peperiksaan dengan markah keseluruhan paling tinggi adalah 90,” katanya.
Dharshini berkata, sebelum mengambil subjek Tasawwur Islam, dia pernah mengikuti kelas jawi ketika di tingkatan satu dan dua bersama rakan sekelas lain di surau.
“Namun, hanya setakat itu saja kerana kelas berkenaan tidak diteruskan di tingkatan tiga. Saya juga tidak mahir membaca atau menulis jawi tetapi mengenali hurufnya.
“Ibu tidak pernah menghalang sebaliknya memberi sokongan kerana tahu saya hanya mahu menuntut ilmu, tidak lebih daripada itu,” katanya.
Kisah Dharshini mendapat perhatian warganet selepas dia memuat naik ciapan bersama gambarnya dan markah diperoleh untuk subjek Tasawwur Islam dalam Ujian Penilaian dan Peperiksaan di Twitter, semalam.
Ciapan itu mendapat pujian warganet yang kagum dengan prestasi gadis berkenaan walaupun bukan beragama Islam.-HM
You must be logged in to post a comment.