Tiga maut, seorang lagi kritikal akibat keracunan karbon monoksida

Share

BUTTERWORTH, 17 Sept  — Tiga wanita maut manakala seorang lagi berada dalam keadaan kritikal akibat mengalami keracunan karbon monoksida, selepas mereka tertidur dalam kereta sewaktu berehat di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah SPT ACP Shafee Abd Samad berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.40 pagi tadi, dan tiga yang meninggal dunia dalam kejadian itu dikenali sebagai Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri, dan Nor Adilah Mohd Safwan, manakala yang sedang dirawat adalah Nor Aqilah, yang merupakan kembar kepada Nor Adilah.

Beliau berkata siasatan awal mendapati keempat-empat rakan baik berumur 21 tahun itu telah pergi ke Pulau Jerejak, dekat sini sempena cuti umum Hari Malaysia semalam, dan difahamkan mereka dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah, apabila mengambil keputusan untuk berhenti rehat di kawasan parkir berkenaan.


“Mereka yang menaiki kereta jenis Honda Odyssey berhenti di stesen minyak di kawasan Lebuhraya Utara Selatan menghala Utara untuk berehat, namun mereka dipercayai tertidur sehingga masing-masing tidak sedarkan diri dan mengalami keracunan karbon monoksida,” katanya di sini hari ini.

Katanya menurut ibu kepada Ayuni, anaknya menghantar mesej kepada beliau pada pukul 9.15 malam tadi memaklumkan berada di stesen minyak itu untuk berehat sebentar, namun sehingga pukul 11 malam tadi Ayuni tidak pulang ke rumah di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, menyebabkan dia mulai bimbang.

Shafee berkata bapa Ayuni telah pergi ke stesen minyak itu untuk mencari anaknya sebelum menemui kereta dinaiki mereka, namun empat rakan baik itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan enjin kenderaan masih hidup, manakala pintu dan tingkap tertutup.


Katanya sebaik sahaja ambulans tiba di lokasi pada pukul 1.00 pagi, Sharifah Fariesha Syed Fathi yang merupakan penumpang hadapan didapati telah meninggal dunia, manakala Ayuni Shazwanie dilaporkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ), dan Nor Adilah pula meninggal dunia semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Angkatan Tentera Lumut, di Perak, pada kira-kira pukul 4.23 petang.

Nor Aqilah pula kini dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin di Kuala  Lumpur, dan menurut Shafee pasangan kembar itu dibawa ke dua hospital berkenaan kerana kemudahan di sana mempunyai mesin untuk rawatan keracunan karbon monoksida.

Shafee berkata seorang juruteknik yang membuat pemeriksaan awal ke atas kereta Honda Odyssey berkenaan mengesyaki kemungkinan ada kebocoran di bahagian ekzos kereta itu kerana semasa pemeriksaan, ekzos berkenaan mengeluarkan bunyi dan bau asap yang sangat kuat.


Sementara itu, ibu saudara kepada Sharifah Fariesha yang ditemui di bilik mayat HSJ, Nor Jamilah Ahmad berkata anak saudaranya itu merupakan anak tunggal kepada kakak dan abang iparnya malah beliau sangat rapat dengan arwah yang dipanggil Fariesha itu.

“Mereka (empat orang) memang rakan baik dan baru habis belajar di sebuah kolej swasta di Batu Caves, Selangor dalam bidang kejururawatan, Fariesha baru bekerja di sebuah klinik swasta dan arwah sangat teruja untuk keluar bersama tiga kawannya itu semalam kerana mahu berjalan-jalan di Pantai Jerejak.

Wanita berusia 30-an itu berkata beliau hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas dihubungi ibu Fariesha yang memaklumkan anak saudaranya itu tidak pulang ke rumah di Amanjaya di Sungai Petani selepas lewat malam sebelum dia menghubungi rakan-rakan arwah.

“Kami baru hendak keluar mencari Fariesha sebelum tunangnya menghubungi saya semula memaklumkan mereka semua telah ditemui namun perlu ke hospital, saya memang terkejut dan terus ke HSJ.. sebaik sampai kami dimaklumkan dia telah meninggal, ibu arwah terus rebah kerana sangat terkejut,” katanya.

Menurutnya jenazah anak saudaranya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Lalang selepas solat Asar hari ini.

— BERNAMA

One thought on “Tiga maut, seorang lagi kritikal akibat keracunan karbon monoksida

  • September 18, 2020 at 19:28
    Permalink

    Kes kematian dalam kenderaan akibat keracunan gas karbon monoksida bukan pekara baru di Malaysia atau di mana2 pun, sama ada perbuatan membunuh diri atau pun kes2 insiden, seperti ini. Kita mesti pernah dengar sebelum ini. Harap2 ini dijadikan ikhtibar untuk semua. Takziah untuk keluarga mangsa.

    Reply

Leave a Reply