Filem Tamil Malaysia gondol 3 anugerah antarabangsa

Filem Tamil Pulanaivu terbitan Shaibha Vision menggondol anugerah filem terbaik bagi kategori thriller jenayah di Festival Filem Tamil Antarabangsa Toronto 2020 baru-baru ini.

Filem arahan bersama Shalini Balasundram dan suaminya Sathish Natarajan ditayangkan pada Nov 2019.

Penerbitnya, Shaila Nair, yang turut memegang watak protaganis dalam filem itu berkata, suatu perasaan luar biasa dialami apabila melihat filem Tamil Malaysia ditonton dan dianugerahkan trofi di persada antarabangsa.

Pulanaivu diterima di peringkat antarabangsa adalah satu kejayaan luar biasa dan menandakan kerja keras dan keunikan yang dilakukan oleh filem thriller jenayah ini.

“Anugerah ini sangat istimewa bagi kami kerana banyak filem Tamil lain di seluruh dunia yang mengambil bahagian dalam festival ini.

“Untuk Pulanaivu menonjol dan memenangi hati para Juri di Toronto benar-benar sangat menggembirakan kami sebagai sebuah sebuah pasukan,” katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Shaila, juri bagi festival itu terdiri daripada pengarah filem terkenal dari India seperti Vetri Maran dan Ram, pelakon Nassar, Andrea Jeremiah dan GV Prakash.

 

Pulanaivu (bermaksud Siasatan) adalah kisah hidup seorang wanita yang memegang jawatan tinggi dalam pasukan polis apabila dia mula membuka siasatan terhadap kematian seorang pelajar kolej swasta.

“Jarang sekali filem watak wanita sebagai protaganis mendapat perhatian. Jadi, saya berasa bangga dengan anugerah ini dan ia pasti menjadi pemangkin kepada filem tempatan kita menyertai festival antarabangsa lain.

“Tahniah kepada kepada pengarah Shalini dan Sathish serta seluruh pelakon dan kru Pulanaivu untuk kejayaan ini,” katanya.

Selain itu, Pulanaivu juga memenangi dua anugerah di Festival Filem Tamil Norway ke-11 masing-masing bagi pelakon wanita terbaik dan lakon layar terbaik di bawah kategori filem Tamil Diaspora.

Shaila Nair memenangi anugerah pelakon wanita terbaik sementara Shalini dan Sathish menang lakon layar terbaik.-Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker