Kematian anggota ATM: 2 pegawai, 9 anggota dirakam keterangan
Kuala Lumpur: Dua pegawai dan sembilan anggota tentera sudah dirakam keterangan setakat hari ini, bagi membantu siasatan polis berhubung kes kematian anggota pasukan keselamatan itu, Prebet Abdul Aziz Aznam.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan polis Johor akan memanggil anggota lain untuk membuat perkara sama bagi melengkapkan kertas siasatan.
“Berdasarkan maklumat dan rekod setakat ini, polis Johor sudah rekod percakapan dua pegawai dan sembilan anggota lain-lain pangkat.
“Polis akan panggil dan rekod percakapan anggota lain kalau ada keperluan.
“Sekarang ini beri masa dan ruang kepada polis jalankan siasatan kes ini secara menyeluruh,” katanya pada BH, hari ini.
Kelmarin, seramai 10 saksi dilaporkan sudah diambil keterangan berhubung kematian anggota tentera itu yang jatuh dari tingkat tiga bangunan kediaman sebuah kem tentera di Batu Pahat, Johor.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, dipetik berkata, saksi terbabit ialah dua pegawai, tujuh anggota pangkat rendah serta seorang orang awam.
Pada 29 Ogos lalu, Abdul Aziz dilaporkan parah di bahagian kepala dan badan selepas dipercayai terjun dari tingkat tiga bangunan kediaman berkenaan.
Mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat, namun meninggal dunia pada 2.30 petang, 6 September lalu
You must be logged in to post a comment.