Geran tanah : Musa punya kerja, Shafie dapat nama
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung 26 September ini, isu pemberian geran tanah yang giat dilakukan Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal menarik untuk diperhatikan.
Pemimpin parti politik serta NGO melihat tindakan Shafie yang mengetuai parti Warisan Sabah (Warisan) itu mempunyai motif politik memancing undi menjelang PRN Sabah.
“Shafie melakukan kesalahan kerana melancarkan kempen ini di kala pilihan raya bakal berlangsung pada bila-bila masa.
“Kempen ini juga dibuat secara tergesa-gesa di mana ia juga bermotifkan politik dalam keadaan krisis politik yang kian memuncak,” kata pengasas bersama Solidariti Anak Sabah Sarawak (SASS) Andrew Atama Ambrose ketika mengulas isu tersebut.
Soal ia bermotifkan politik atau tidak, terpulang pada pihak berkenaan untuk menentukannya namun apa yang agak menarik apabila Shafie mendakwa pemberian geran itu adalah inisiatif kerajaan pimpinannya yang prihatin dengan isu tanah adat di negeri itu.
Persoalannya, benarkah penyelesaian geran tanah di Sabah itu hasil inisiatif Warisan atau apa yang berlaku sekarang ini ibarat ‘lembu punya susu sapi dapat nama’?
Kebanyakan anak Sabah pasti pernah mendengar Program Perkhidmatan Tanah Pribumi Negeri Sabah (PANTAS) yang bermatlamat menyegerakan kajian dan seterusnya mengeluarkan hak milik ke atas Tanah Adat Pribumi.
PANTAS diperkenalkan oleh bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman pada 2011.
Sejak itu, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah telah mengeluarkan sebanyak 21,378 geran tanah dengan jumlah keseluruhan 36,137.02 hektar di 92 kampung menerusi PANTAS, sebagai pengiktirafan hak adat pribumi rakyat negeri ini.
Selain itu, kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Musa Aman juga memperkenalkan program Geran Komunal yang menjadikan pemilik asli kepada Hak Tanah Adat Pribumi.
Sejak tahun 2011, sebanyak 73 geran komunal sudah diproses, membabitkan 217 kampung di 12 daerah yang meliputi kawasan seluas hampir 50,000 hektar.
Manakala dalam Bajet 2018, sejumlah RM20 juta diperuntukkan kerajaan Persekutuan (BN) bagi menyelesaikan kajian kira-kira 17,000 hektar tanah bagi tahun itu.
Inisiatif kerjasama yang membabitkan kerajaan Negeri dan Persekutuan itu melibatkan 80 pasukan dari Jabatan Tanah dan Ukur negeri.
Berdasarkan fakta itu, untuk Shafie mengatakan pemberian tanah yang sedang dilakukannya kini adalah hasil inisiatif kerajaan negeri pimpinannya adalah agak tidak tepat.
Shafie sebaliknya sedang menuai hasil dari usaha kerajaan sebelumnya.
Seperti kata Pengerusi PPBM Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor bahawa Shafie sedang berbohong kepada rakyat negeri itu apabila mendabik dada pemberian geran tanah itu adalah inisiatif kerajaan Warisan.
“Geran tanah itu sebenarnya disediakan lebih awal oleh PANTAS yang dimulakan oleh kerajaan sebelum ini,” kata Hajiji Mohd Noor.
Ujar Hajiji lagi, PANTAS adalah usaha murni untuk mempercepatkan pengeluaran geran tanah anak negeri (NT) kepada mereka yang menduduki tanah adat anak negeri (NCR) dengan dana daripada kerajaan pusat.
“Shafie harus berhenti menggunakannya untuk meraih sokongan rakyat pada saat populariti Warisan semakin merosot,” katanya. – SuaraTV